Filipina bukan lawan mudah

KETUA jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak melihat Filipina sebagai lawan mudah apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Cheras malam ini.
Sebaliknya, Cheng Hoe menuntut anak buahnya mengekalkan disiplin serta fokus sepanjang 90 minit permainan bagi memastikan misi memburu kemenangan di Cheras dapat direalisasikan.
Mengakui tiada elemen kejutan yang boleh disembunyikan daripada Filipina, Cheng Hoe percaya pemainnya memahami cabaran yang bakal menanti dan perlu memberikan komitmen penuh untuk mendapatkan keputusan positif.
"Kami tahu beberapa pemain seperti Jimmy Raymond (pertahanan) mengalami kecederaan ketika menentang Thailand, jadi sudah tentu kami perlu mencari penggantinya.
"Dalam masa sama, Wan Kuzain telah menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan dan menunjukkan prestasi yang positif.
"Kami akan menilai sama ada mengekalkan kesebelasan sama atau melakukan sedikit perubahan," katanya pada sidang media praperlawanan pada Khamis.
Pertemuan menentang Filipina menjadi aksi penting buat Harimau Malaya selepas mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Myanmar dan Laos, sebelum tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi terdahulu.
Tambah Cheng Hoe, barisan kejurulatihan juga sentiasa menilai keadaan pemain sebelum menentukan kesebelasan terbaik, terutama selepas beberapa pemain berdepan masalah kecederaan.
Ketika ini, Thailand menerajui carta Kumpulan B dengan sembilan mata, diikuti Malaysia dan Myanmar yang masing-masing mengumpul enam mata, Filipina (tiga mata) manakala Laos tercorot tanpa sebarang mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

