Insiden tembakan sekolah di Thailand: PM Thailand arah undang-undang senjata api diperketat

 Anutin
Anutin
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berikrar untuk memperkenalkan langkah kawalan senjata api baharu susulan insiden tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi pada Jumaat yang mengorbankan tujuh nyawa.

Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, langkah yang dicadangkan itu termasuk memperketat sekatan terhadap kebenaran orang awam memiliki dan membawa senjata api.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden tembakan sekolah di Thailand: Suspek dipercayai bunuh datuk, nenek sebelum serangan

‘Kaki game tegar, budak baik’: Siapa remaja 14 tahun di sebalik insiden tembakan sekolah di Thailand?

"Saya perlu membincangkan perkara ini dengan ketua polis negara. Namun, undang-undang sedia ada sudah jelas -- orang awam yang tidak mempunyai sebarang tugas rasmi tidak dibenarkan membawa senjata api di luar rumah atau di tempat awam.

"Undang-undang baharu ini hanya akan membenarkan pegawai kerajaan yang sedang bertugas membawa senjata api," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, Anutin melawat Sekolah Debsirin Nonthaburi dan diberi taklimat oleh pegawai Polis Diraja Thailand mengenai situasi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan undang-undang yang dicadangkan itu, termasuk sama ada syarat pemilikan senjata api akan diperketat.

"Saya perlu menegaskan bahawa mulai sekarang, apabila polis mengadakan sekatan jalan raya, mereka juga mesti memeriksa sama ada terdapat senjata api. Sesiapa yang didapati membawa senjata api akan berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan langkah-langkah bagi meyakinkan ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat di sekolah.

"Saya pasti Menteri Pendidikan perlu melaksanakan langkah-langkah tertentu bagi memastikan semua pelajar di sekolah berada dalam keadaan selamat. Namun, lazimnya saya tidak fikir kita pernah mempertimbangkan untuk memasang mesin pengimbas sinar-X bagi memeriksa pelajar sebelum mereka memasuki sekolah. Saya tidak fikir itu sesuatu yang biasa atau normal," katanya.

Pada kira-kira 10 pagi Jumaat, seorang pelajar sekolah itu yang berusia 14 tahun dilaporkan melepaskan tembakan sehingga mengorbankan tiga guru dan tiga pelajar.

Menurut polis, suspek kemudian ditemukan maut di sekolah berkenaan.

Seramai 21 lagi cedera dalam insiden amuk itu dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, dengan lapan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal. - Bernama 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!