Bapa ditahan bantu siasatan dakwaan dera, gangguan seksual dua anak lelaki

KAMPAR - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendera secara fizikal dan melakukan gangguan seksual terhadap dua anak lelakinya.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, suspek berusia 51 tahun ditahan pada 5 Ogos lalu selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak sekolah membabitkan mangsa berusia 14 dan 18 tahun.

Menurutnya, salah seorang mangsa membuat pendedahan kepada guru kaunseling mengenai kejadian yang didakwa berlaku di rumah mereka.
"Hasil temu bual lanjut kemudiannya mendapati, abang mangsa yang mengalami masalah lembam dipercayai turut diperlakukan dengan perbuatan sama.
"Kedua-dua mereka telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis telah merampas sebuah peranti elektronik milik suspek untuk tujuan analisis forensik.
Katanya, hasil soal siasat, dua beradik tersebut tinggal bersama bapa mereka dan telah kematian ibu sejak lapan tahun lalu.
"Dalam kes ini, mangsa terlibat telah menerima perlindungan dan bantuan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Mohamad Nazri berkata, permohonan reman telah dibuat terhadap suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa atau menjejaskan proses siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

