'Kenyataan Reezal kasar' - Guan Eng

GEORGE TOWN – Tuduhan bahawa DAP dan PKR mengamalkan politik identiti adalah tidak berasas kerana menurut DAP, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan pihak yang selama ini memainkan politik sedemikian.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ketua UMNO Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican terhadap parti itu bukan sahaja tidak mesra, malah boleh dianggap sebagai sesuatu yang 'kasar' terhadap rakan sekutu dalam Kerajaan Pulau Pinang.
Beliau berkata, perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada hubungan antara UMNO dan DAP dalam kerajaan negeri mampu terus kekal harmoni serta bebas daripada ketegangan sekiranya serangan terhadap rakan gabungan terus berulang.
"Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai komitmen UMNO sebagai rakan dalam kerajaan negeri, lebih-lebih lagi apabila PN yang sebelum ini merupakan seteru politik UMNO kini dilihat semakin rapat dengan parti berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Reezal dilaporkan berkata, hubungan antara UMNO dan DAP di Pulau Pinang kekal baik meskipun berlaku ketegangan antara kedua-dua parti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kedua-dua parti tidak pernah 'bertembung' walaupun mempunyai perbezaan pendirian, namun apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sememangnya memberi kesan, malah hakikat itu tidak boleh dinafikan.
Reezal turut menegaskan, beliau mengekalkan hubungan kerja yang profesional dengan kerajaan negeri, selain memaklumkan bahawa pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sedia maklum mengenai pendiriannya itu.
Pada masa sama, beliau mengakui kepimpinan BN akan membuat keputusan muktamad berhubung masa depan hubungan antara BN dan PH.
Dalam perkembangan berkaitan, Reezal turut menolak dakwaan bahawa BN dan PN menggunakan politik identiti sebagai strategi untuk memenangi PRN Negeri Sembilan.
Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kebimbangan turut timbul mengenai kemungkinan UMNO menggunakan kedudukannya dalam kerajaan negeri untuk memberi manfaat kepada PN sehingga mengenepikan kepentingan Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan PH Pulau Pinang mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan maruah dan martabat kerajaan negeri serta memastikan mandat yang diberikan rakyat terus dipelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

