Arab Saudi, Turkiye, Pakistan dijangka meterai pakatan pertahanan bersama

JEDDAH – Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan dijangka memeterai perjanjian pertahanan bersama di Jeddah pada Jumaat ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak.
Menurut sumber yang rapat dengan pihak tentera Arab Saudi kepada AFP, perjanjian itu akan ditandatangani oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Sumber yang enggan dikenali itu berkata, rundingan mengenai pakatan berkenaan telah berlangsung sejak sekian lama, namun perkembangan terkini di rantau itu mempercepatkan proses memuktamadkan perjanjian.
"Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye akan menandatangani perjanjian pertahanan bersama di Jeddah pada Jumaat.
"Perkara ini telah lama dibincangkan, tetapi perkembangan mutakhir di rantau ini mempercepatkan proses tersebut," katanya.
Spekulasi mengenai pembentukan pakatan lebih kukuh antara tiga negara majoriti Sunni itu telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu susulan ketidaktentuan keselamatan di rantau Asia Barat.
Sharif bersama Panglima Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir, tiba di Arab Saudi pada Khamis bagi lawatan rasmi sehingga Sabtu.
Sementara itu, Erdogan dijadual tiba di Jeddah pada Jumaat, menurut kenyataan pihak Presiden Turkiye.
Arab Saudi dan Pakistan sebelum ini telah memeterai perjanjian pertahanan bersama pada 2025.
Perjanjian tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa ia mungkin mengandungi kerjasama berkaitan keupayaan nuklear memandangkan Pakistan merupakan antara negara yang memiliki senjata nuklear.
Pada Januari lalu, sumber yang rapat dengan tentera Arab Saudi memberitahu AFP bahawa Turkiye tidak akan menyertai pakatan pertahanan Arab Saudi-Pakistan selepas seorang pegawai Turkiye memaklumkan Ankara ketika itu masih mengadakan rundingan berhubung penyertaannya.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan ketiga-tiga negara kini dijangka memeterai perjanjian pertahanan bersama secara rasmi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

