Juruteknik didakwa cabul anak tiri sejak usia 10 tahun

Tertuduh berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan mencabul anak perempuan tirinya berusia 12 tahun sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan mencabul anak perempuan tirinya berusia 12 tahun sejak tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tujuh pertuduhan mencabul anak perempuan tirinya berusia 12 tahun sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa, sejak kanak-kanak itu berusia 10 tahun yang berada di bawah jagaan dan mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai ayah tiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar dalam daerah Perak Tengah pada beberapa tarikh dalam Mei 2023, Mei 2024 dan April 2025.

Enam kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 14(a), manakala satu lagi mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan berkenaan, selain hukuman tambahan sekiranya mahkamah mendapati wujud hubungan amanah dengan mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM30,000 bersama syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sepanjang kes berjalan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Aliff Aiman Rusli memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan minor strok, selain menanggung ibu berusia 70 tahun dan isteri yang tidak bekerja.

Menurutnya, tertuduh yang kini menetap bersama ibunya tidak mempunyai rekod lampau serta telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menyerah diri bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan yang bukan ahli keluarga.

Mahkamah turut menetapkan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap awal bulan sehingga kes selesai serta dilarang mendekati, menghubungi atau mengganggu mangsa, ibu mangsa, ahli keluarga dan mana-mana saksi pendakwaan dalam apa-apa cara.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 September depan bagi serahan dokumen.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!