Joachim, Joniston menang tanpa bertanding Presiden, Timbalan Presiden PBS

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026-2029.
Setiausaha Agung PBS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Julita Mojungki berkata, Joachim yang memegang jawatan pemangku Presiden sejak tiga tahun lalu merupakan satu-satunya calon bagi jawatan Presiden apabila proses pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.
Katanya, perkara sama berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota bumiputera bukan Islam apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Joniston menjadi calon tunggal yang dicalonkan.
"Turut menang tanpa bertanding ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharram bagi kuota bumiputera Islam selepas calon lain hanya memperoleh satu pencalonan.
"Calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding dalam pemilihan parti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Julita berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi, Goon Thien Shang.
"Sementara itu, tiga pencalonan diterima bagi merebut dua jawatan Naib Presiden kuota bumiputera bukan Islam, masing-masing ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum dan penyandang, Datuk Johnny Mositun.
"Bagi jawatan Naib Presiden kuota bumiputera Islam pula, enam calon layak bertanding iaitu penyandang, Mursid Mohd Rais; Sharol Mahoolop; Zamil Ismail; Kasirin Kamiran; Ali Latif Taha dan Dr Rodah Sawang bagi merebut dua kekosongan," katanya.
Julita berkata, bagi kuota Cina, lima calon layak bertanding untuk jawatan Naib Presiden iaitu penyandang, Datuk Arthur Sen; Datuk Fredian Gan; Goon Thien Shang yang turut dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden; Datuk Johnny Goh dan Ng Tze Sai.
Beliau memaklumkan, hanya satu jawatan Naib Presiden diperuntukkan bagi kuota Cina.
Katanya lagi, bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi kuota bumiputera bukan Islam, seramai 28 calon menerima pencalonan mencukupi untuk bertanding bagi merebut tujuh kekosongan.
"Seramai 23 calon pula menerima pencalonan mencukupi untuk bertanding bagi lima kekosongan Ahli Majlis Tertinggi di bawah kuota bumiputera Islam.
"Bagi kuota Cina, seramai 15 calon akan bertanding untuk merebut empat jawatan Ahli Majlis Tertinggi," katanya sambil memaklumkan bahawa tempoh penerimaan pencalonan ditutup pada 7 Ogos lalu.
Julita berkata, parti menerima rekod 79 pencalonan bagi semua jawatan, dengan lebih separuh daripadanya merupakan calon yang pertama kali bertanding.
Sementara itu, Dr Joachim berkata, jumlah calon yang mencatat rekod, dengan separuh daripadanya membuat penampilan sulung, membuktikan ramai yang berminat untuk berkhidmat kepada parti.
“Ini memberi petanda baik kepada proses pembaharuan PBS," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBS, pada Rabu.
ADUN Kundasang itu berkata, beberapa perkara penting berkaitan parti turut dibincangkan, termasuk persiapan menghadapi Kongres PBS yang dijadualkan berlangsung pada September ini.
“Persiapan rapi amat penting bagi memastikan kongres berjalan lancar serta menjadi wadah terbaik untuk memperkukuh perpaduan parti, memperbaharui komitmen terhadap perjuangan dan menentukan hala tuju masa depan demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
