MGB sempurnakan majlis 'roof topping' Pangsapuri Saujana Indah

JOHOR BAHRU – MGB Berhad (MGB) mengadakan majlis 'roof topping' bagi projek Pangsapuri Saujana Indah di Molek, Johor Bahru, sekali gus menandakan struktur utama bangunan projek berkenaan telah berjaya disiapkan.
MGB yang merupakan syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad memaklumkan, projek itu terdiri daripada dua menara kediaman setinggi 37 tingkat yang menawarkan keseluruhan 988 unit kediaman.
Menurut kenyataan MGB, Menara A terdiri daripada 393 unit manakala Menara B merangkumi 595 unit dengan keluasan binaan antara 590 kaki persegi hingga 863 kaki persegi.
"Pembangunan ini mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM437 juta dan merupakan projek bertingkat tinggi pertama MGB di Johor serta projek sulung syarikat itu di Johor Bahru,"katanya.
Projek berkenaan direka bagi memenuhi keperluan gaya hidup bandar moden dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, surau, stesen barbeku, zon kecergasan dan gimnasium.
Selain itu, pembangunan tersebut turut dilengkapi taman rekreasi luar yang mempunyai trek larian terbuka.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, pencapaian 'roof topping' itu mencerminkan komitmen, disiplin dan kerjasama erat yang ditunjukkan pasukan projek serta semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pembangunan berkenaan.
“Penyempurnaan kerja-kerja struktur utama ini merupakan satu pencapaian penting dan menandakan bahawa kami semakin hampir untuk menyerahkan rumah yang telah kami janjikan kepada pembeli.
“Kejayaan ini turut mencerminkan dedikasi, koordinasi dan profesionalisme pasukan projek, perunding, kontraktor, pembekal dan rakan perniagaan kami,” katanya.
Menurut beliau, sejak dilancarkan pada 2023, Pangsapuri Saujana Indah menerima sambutan positif daripada pembeli apabila kesemua 988 unit yang ditawarkan telah habis dijual.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap lokasi strategik, reka bentuk praktikal, kemudahan komprehensif serta nilai keseluruhan yang ditawarkan oleh pembangunan tersebut.
“Keutamaan kami kekal tertumpu kepada usaha mengekalkan standard kualiti, keselamatan dan mutu kerja yang tinggi.
“MGB komited untuk memastikan baki kerja dilaksanakan secara cekap dan bertanggungjawab, dengan matlamat mencapai penyiapan projek yang lancar serta mengikut jadual,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
