35 anggota bantu bawa turun jenazah wanita 300kg ke liang lahad

JAKARTA - Pengebumian seorang wanita seberat 300 kilogram di Sragen melibatkan 35 petugas selepas pihak keluarga memerlukan bantuan tambahan bagi proses pengurusan jenazah.
Memetik laporan detikJateng pada Rabu, wanita berkenaan dikenali sebagai I, 39, disemadikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Mbah Balak, Plumbungan, Karangmalang, Sragen pada Selasa.
Jenazah dibawa menggunakan keranda putih sebelum dimasukkan ke liang lahad oleh pasukan gabungan.
Ketua Pelaksana Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Sragen, Triyono Putro, berkata, proses pengebumian disertai anggota daripada pelbagai agensi termasuk sukarelawan, pasukan pemadam kebakaran, Palang Merah Indonesia (PMI) dan bantuan masyarakat setempat.
“Pasukan gabungan kami menggunakan teknik penyelamatan menegak (vertical rescue). Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar," ujarnya.
Menurutnya, persiapan mengambil masa kira-kira dua jam termasuk penyediaan peralatan, persiapan liang lahad dan proses keseluruhan pengebumian.
Proses menurunkan jenazah ke liang lahad mengambil masa kira-kira 20 minit.
Pada mulanya, I dipindahkan dari rumahnya kerana mengalami sesak nafas dan proses selama kira-kira sejam itu melibatkan seramai 12 anggota daripada BPBD, PMI, pasukan pemadam kebakaran, PSC 119 serta penduduk setempat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

