Pokok hiasan lapangan terbang baharu 'dikebas' pengunjung

NEW DELHI – Tindakan segelintir pengunjung membawa pulang pokok hiasan yang menghiasi kawasan Lapangan Terbang Vizag sejurus selepas majlis perasmiannya baru-baru ini, mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial, lapor NDTV.
Rakaman video kejadian yang tular menunjukkan sejumlah besar individu mencabut dan membawa keluar pokok-pokok hiasan dari kawasan lapangan terbang, sekali gus mengundang pelbagai reaksi negatif.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mencerminkan tahap kesedaran sivik yang rendah.
Mereka berpendapat kemudahan awam hanya dapat dikekalkan sekiranya masyarakat menghormati harta benda milik awam, sambil menegaskan bahawa tindakan merosakkan atau mengambil kemudahan di ruang awam boleh menjejaskan usaha pembangunan serta imej sesebuah negeri.
Susulan insiden itu, ramai menggesa pihak pengurusan lapangan terbang memperketat kawalan keselamatan dengan menambah anggota keselamatan serta mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Selepas ini mungkin Jabatan Perhutanan pula perlu ditugaskan menjaga pokok dan tanaman daripada 'warganegara terbaik' ini bersama-sama pihak polis," sindir seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pengguna menyifatkan kejadian itu berpunca daripada kurangnya kesedaran sivik, manakala seorang pengguna lain menggesa kerajaan memperkukuh pendidikan sivik dalam kurikulum sekolah di samping mengenakan hukuman lebih tegas terhadap individu yang terlibat.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

