Bekas penyanyi pop Thailand saman Singapore Airlines kerana lidi sate

Briohny Smyth saman Singapore Airlines kerana tertelan serpihan lidi sate, dua tahun lalu. Foto kredit media sosial
Briohny Smyth saman Singapore Airlines kerana tertelan serpihan lidi sate, dua tahun lalu. Foto kredit media sosial
A
A
A

LOS ANGELES - Bekas bintang pop remaja Thailand memfailkan saman terhadap Singapore Airlines selepas mendakwa mengalami kecederaan pada pita suara akibat tertelan serpihan kayu tajam daripada lidi sate ayam yang dihidangkan ketika penerbangan.

Menurut laporan The Independent, Briohny Smyth, 44, memfailkan saman itu di Mahkamah Persekutuan Los Angeles pada 24 Julai lalu dengan mendakwa serpihan kayu berkenaan tercabut daripada lidi sate ketika dia menikmati hidangan dalam penerbangan Singapore Airlines menuju ke Los Angeles pada 28 Julai 2024.

Dokumen mahkamah menyatakan serpihan kayu itu tersangkut di kerongkongnya sehingga menyebabkan kesakitan serta-merta, batuk yang teruk dan rasa tercekik.

Smyth yang berada di kelas perniagaan kemudian berjaya mengeluarkan serpihan kayu bergerigi sepanjang kira-kira 3.8 sentimeter daripada kerongkongnya.

Insiden itu didakwa mengakibatkan beliau mengalami ketidakselesaan berpanjangan pada kerongkong, keletihan suara, suara serak, rasa tegang serta kesakitan apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.

Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), yang mendapati terdapat parut serta trauma pada pita suaranya yang didakwa selaras dengan kecederaan akibat objek tajam.

Dalam tuntutan itu, Smyth menegaskan beliau menikmati hidangan berkenaan mengikut cara yang sepatutnya dan tidak cuai sehingga menyebabkan kecederaan tersebut.

Smyth mula mencipta nama sebagai penyanyi remaja di Thailand selepas album sulungnya mencatat jualan platinum ketika berusia 13 tahun pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an.

Beliau kemudian meninggalkan dunia hiburan dan kini menetap di Amerika Syarikat sebagai jurulatih yoga serta pendidik kesejahteraan.

Artikel Berkaitan:

Menurut dokumen saman, Smyth yang kini merupakan penyanyi profesional, penghibur, pendidik dan penceramah awam bergantung kepada kualiti suaranya sebagai aset utama kerjaya.

Beliau menuntut ganti rugi atas kecederaan fizikal, kehilangan keupayaan menjana pendapatan, kerugian profesional serta tekanan emosi, termasuk kebimbangan untuk makan dan menaiki pesawat.

Setakat ini, Singapore Airlines belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung saman tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!