Suu Kyi buat kemunculan pertama

YANGON – Pemimpin demokrasi Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, mengadakan pertemuan dengan wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Isnin, sekali gus menjadi pertemuan pertama yang didedahkan kepada umum melibatkan beliau dengan pegawai asing sejak digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2021.
Pejabat Presiden Myanmar memaklumkan, wakil tetap ICRC di Myanmar, Arnaud de Baecque, bertemu Suu Kyi pada pagi Isnin, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan itu.
Beberapa gambar yang dikeluarkan Pejabat Presiden menunjukkan Suu Kyi, 81, berjabat tangan dengan seorang lelaki yang dipercayai de Baecque, selain memotong kek hari jadi yang tertera tulisan Happy Birthday Aunty Suu.
AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar berkenaan secara bebas, namun semakan menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI) tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa imej tersebut telah dimanipulasi.
AFP turut menghubungi ICRC bagi mendapatkan maklum balas.

Seorang veteran Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) yang enggan dikenali menyifatkan penyiaran gambar itu sebagai perkembangan positif.
"Kami gembira melihat gambarnya jika benar beliau bertemu ICRC. Sekurang-kurangnya kini kami tahu beliau masih hidup.
"Namun, beliau sepatutnya dibebaskan segera kerana penahanannya adalah tidak sah," katanya.
Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi pada Februari 2021 sebelum menahannya atas pelbagai pertuduhan yang menurut kumpulan hak asasi manusia direka bagi menyingkirkan beliau serta parti NLD daripada arena politik negara berkenaan.
Rampasan kuasa itu mencetuskan perang saudara yang masih berlarutan sehingga kini dan dilaporkan mengorbankan lebih 100,000 nyawa daripada semua pihak yang terlibat.
Bekas ketua junta, Min Aung Hlaing, dilantik sebagai Presiden awam pada April lalu selepas pilihan raya yang dikritik kerana dikenakan pelbagai sekatan.
Pada bulan yang sama, beliau mengumumkan baki hukuman penjara Suu Kyi diringankan dan pemimpin itu dipindahkan ke tahanan di sebuah rumah.
Sehingga kini, pihak berkuasa tidak pernah mendedahkan lokasi sebenar Suu Kyi ditahan di Naypyidaw mahupun baki tempoh hukumannya.
Anaknya, Kim Aris, yang merupakan warga Britain, sebelum ini berulang kali meminta bukti bebas bahawa ibunya masih hidup kerana tidak dapat berhubung dengannya sejak beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Myanmar masih berdepan tekanan antarabangsa susulan penahanan Suu Kyi, walaupun negara itu mula kembali menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa negara jiran.
Thailand kini mengetuai usaha membawa Myanmar kembali menyertai proses diplomatik serantau menerusi ASEAN, namun pembebasan Suu Kyi kekal menjadi tuntutan utama beberapa negara anggota.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, bulan lalu berkata, rakan sejawatnya dari Myanmar memberi jaminan bahawa Suu Kyi berada dalam keadaan sihat, namun menegaskan dakwaan itu perlu dibuktikan. – AFP
Info Aung San Suu Kyi
Digulingkan tentera pada Februari 2021
Pemenang Nobel Keamanan 1991
Berusia 81 tahun, kini dalam tahanan rumah
Pertemuan pertama dengan wakil asing sejak ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
