Kelantan dijangka 'terselamat' daripada banjir besar tahun ini - JBPM

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menjangkakan Kelantan terselamat daripada banjir besar tahun ini susulan negeri itu kini berada dalam fasa Super El Nino yang menyebabkan cuaca lebih kering serta taburan hujan berkurangan.
Pengarah JBPM negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut beliau, keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan sepanjang fasa El Nino dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
"Berdasarkan laporan MetMalaysia, Kelantan kini berada dalam fasa El Nino sehingga awal tahun depan.
"Justeru, kemungkinan berlakunya banjir besar di negeri ini adalah rendah, malah ada kemungkinan ia tidak berlaku," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini pada Isnin.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Kedah, Perlis dan Kelantan berkemungkinan tinggi berdepan ancaman kemarau yang agak teruk ketika fenomena Super El Nino yang dijangka mencapai tahap kemuncak menjelang hujung tahun ini.
Menurut Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Aweng Eh Rak hal itu mengambil kira kedudukan geografi ketiga-tiga negeri itu yang terdedah kepada kesan pengurangan taburan hujan.
Jangkaan itu merangkumi potensi penurunan purata taburan hujan mingguan yang boleh melebihi 20 peratus berbanding kadar kebiasaan.
Bagaimanapun, menurut Farhan Sufyan, keadaan cuaca yang lebih panas dan kering dijangka meningkatkan risiko kejadian kebakaran terbuka di seluruh negeri.
Sehubungan itu, katanya, JBPM Kelantan akan memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan selain meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka.
"Pada musim El Nino, kebarangkalian cuaca adalah lebih kering dengan taburan hujan yang rendah berbanding kebiasaan.
"Situasi itu boleh menyebabkan kejadian kebakaran terbuka meningkat pada masa ini dan dalam tempoh akan datang.
"Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh mencetuskan kebakaran yang lebih sukar dikawal ketika cuaca panas dan kering," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

