Kilang kitar semula musnah terbakar

KAJANG - Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran di Kawasan Mahkota Beranang, awal pagi Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 pagi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi lima minit kemudian dengan bantuan anggota dari BBP Bangi, BBP Kajang dan BBP Nilai.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang pengumpulan bahan sisa plastik dan industri. Bangunan kelas C berkeluasan 100 x 200 kaki persegi itu terbakar kira-kira 50 peratus.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.46 pagi, namun kerja-kerja pemadaman masih diteruskan.
Menurutnya, kebakaran melibatkan timbunan bahan buangan sisa industri dan plastik yang mengeluarkan gas sekali gus menyukarkan operasi pemadaman.
"Operasi dijangka mengambil masa melebihi empat jam memandangkan terdapat longgokan sisa industri dan keadaan sisa plastik yang mengeluarkan gas.
"Seramai 30 anggota dengan kekuatan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah lori tangki air terlibat dalam operasi pemadaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

