Video petugas kesihatan bersenam ketika pesakit menunggu rawatan tular

JAKARTA - Tindakan beberapa petugas di sebuah Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di Indramayu, Jawa Barat, bersenam ketika pesakit beratur untuk mendapatkan rawatan mengundang kritikan selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Menurut laporan Kompas.com, kejadian berlaku di Puskesmas Patrol pada Sabtu lalu apabila seorang pesakit yang sedang menunggu giliran rawatan merakam aktiviti senaman tersebut sebelum memuat naik video berkenaan.
Pesakit berkenaan mendakwa proses rawatan menjadi sedikit perlahan kerana sebahagian petugas masih mengikuti aktiviti senaman, selain bunyi muzik yang kuat menyebabkan mereka yang sedang menunggu giliran berasa kurang selesa.
Difahamkan, pesakit itu mendaftar secara dalam talian dan menerima nombor giliran 36 sebelum mengemukakan bantahan terhadap situasi berkenaan.
Susulan video itu tular, Ketua Daerah Kecil Patrol, Bagus Asep Trisnadi, bertindak mengadakan sesi mediasi antara pesakit dan pihak pengurusan Puskesmas Patrol bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurut Bagus, hasil siasatan mendapati aktiviti senaman itu merupakan sebahagian daripada Program Gerakan Masyarakat Hidup Sihat (Germas) anjuran Kementerian Kesihatan Indonesia yang dilaksanakan secara berkala di semua puskesmas.
"Program senaman itu merupakan sebahagian daripada Germas. Semua puskesmas melaksanakannya, cuma ada yang mengadakan pada hari Jumaat dan ada juga pada hari Sabtu," katanya.
Beliau menjelaskan, ketika kejadian hanya sebahagian kecil kakitangan menyertai aktiviti tersebut manakala perkhidmatan kepada pesakit masih diteruskan.
Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan pesakit yang sedang menunggu rawatan serta bunyi muzik daripada aktiviti senaman boleh menyebabkan mereka berasa kurang selesa.
"Kami tidak menyalahkan pesakit, begitu juga pihak puskesmas kerana mereka hanya melaksanakan arahan kementerian. Namun, kami memahami perasaan pesakit yang sedang menunggu rawatan," katanya.
Bagus berkata, sebelum sesi mediasi diadakan, pihak Puskesmas Patrol sebenarnya telah memohon maaf kepada pesakit, namun video tersebut telah tersebar selepas dikongsi ke beberapa kumpulan Facebook.
Beliau kemudian menjemput pesakit ke kediaman rasmi Ketua Daerah Kecil untuk mendengar sendiri aduan yang dibangkitkan.
"Pada asasnya, pesakit hanya mahu Ketua Puskesmas memohon maaf dan memperbaiki mutu perkhidmatan. Mereka tidak mahu memanjangkan isu ini," katanya.
Ketua Puskesmas Patrol kemudian hadir dalam sesi mediasi dan sekali lagi memohon maaf kepada pesakit serta memberi jaminan akan menambah baik kualiti perkhidmatan.
Menurut Bagus, kedua-dua pihak mencapai persefahaman tanpa sebarang paksaan.
"Pada malam yang sama, pesakit memadam semua hantaran berkaitan kejadian itu dalam lima kumpulan Facebook dan memuat naik penjelasan bahawa isu tersebut telah diselesaikan secara damai," katanya.
Sebagai langkah susulan, Bagus mengarahkan Ketua Puskesmas mengumpulkan semua kakitangan bagi menilai semula standard penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada pesakit, termasuk memastikan mereka menerima layanan yang baik serta berasa dihargai ketika mendapatkan rawatan.
"Saya mahu kejadian ini menjadi yang terakhir dan dijadikan pengajaran kepada semua. Kita perlu bersama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
"Jika ada pesakit yang berasa tidak selesa, ambillah inisiatif untuk berkomunikasi dengan baik dan membawa mereka berbincang secara berhemah supaya mereka berasa dihargai," katanya.
Menurut Kompas.com, perkhidmatan di Puskesmas Patrol kini kembali beroperasi seperti biasa, manakala pihak pengurusan turut memberi komitmen untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta mengelakkan kejadian sama berulang.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

