KPDNHEP rampas minyak masak, petrol

Azizi (kanan) menunjukkan minyak masak dan petrol yang dirampas pihaknya.
Azizi (kanan) menunjukkan minyak masak dan petrol yang dirampas pihaknya.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah dan pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) berjaya merampas 2,210 kilogram (kg) minyak masak dan 90 liter petrol yang keseluruhannya bernilai RM5,637 di sebuah rumah di Kampung Renab, Air Lanas, Jeli, petang semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, rumah terbabit dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum bekalan barang kawalan terbabit di seludup ke negara jiran melalui sungai Golok yang terletak 250 meter dari rumah itu.

Menurutnya, dalam serbuan yang dilakukan pada jam 4 petang itu, suspek berusia 30-an berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.

"Pintu belakang rumah itu juga dipercayai menjadi laluan untuk aktiviti seludup memandangkan minyak berkenaan disimpan di bahagian dapur.

"Minyak masak itu dipercayai diperoleh dari Lembah Klang untuk diseludup ke Thailand berikutan harga bekalan itu dijual pada harga yang tinggi di negara terbabit berbanding di pasaran Malaysia," katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDNHEP Tanah Merah di sini hari ini.

Turut hadir, Komander Kawasan Aksem Bukit Bunga, Sarjan Adnan Othman.

Ahmad Azizi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.