HTJS perlukan bekalan topeng N95

Dr Zaleha (dua dari kiri) menerima antara kotak bekalan makanan untuk pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital negeri ini daripada Mohd Omar hari ini.
Dr Zaleha (dua dari kiri) menerima antara kotak bekalan makanan untuk pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital negeri ini daripada Mohd Omar hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kini mengalami kekurangan topeng muka jenis N95.

Pengarah HTJS, Dr Zaleha Md Noor berkata, meskipun pihaknya menerima banyak bantuan topeng muka tetapi bekalan untuk jenis N95 masih kurang.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan topeng muka jenis N95 untuk kegunaan petugas untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital ini.

"Kalau topeng muka jenis biasa memang sangat mencukupi dan terlalu banyak. Memandangkan bekalan untuk dapatkan N95 kini sangat sukar, jadi kita pakai juga topeng muka biasa.

"Sekurang-kurangnya itu juga dapat membantu menjaga tahap keselamatan dan kesihatan, cuma topeng muka jenis N95 ini sangat sesuai untuk kakitangan kita pakai dalam merawat wabak Covid-19.

"Kalau ada mana-mana pihak yang ingin sumbangkan kita sangat mengalu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan bekalan makanan daripada Pertubuhan Intergrasi Komuniti Malaysia (Ikon) di HTJS hari ini.

Hadir sama, Presiden Ikon Malaysia, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar; Pengarah Urusan OAR Teguh Sdn Bhd, Mohd Omar Mohd Ali dan Timbalan Pengarah Klinikal I, Dr Muhammad Zamri Harun.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak lapan kotak sumbangan bekalan makanan kering disampaikan oleh Ikon Malaysia dengan kerjasama OAR Teguh untuk keperluan pesakit Covid-19 yang dirawat di seluruh hospital di Negeri Sembilan.

Menurut Presiden Ikon Malaysia, Mia Nurhamizah, program tersebut dilaksanakan untuk membantu pihak hospital menyediakan keperluan makanan kering bagi pesakit Covid-19.

"Biasanya waktu akhir mereka makan adalah pada jam 6 petang, apabila malam ada pesakit yang masih lapar, jadi kita berikan keperluan makanan kering ini bagi membolehkan mereka mendapat makanan secara berterusan.

"Kita bagi pihak hospital biskut, roti, minuman segera 3 in 1 dan pelbagai makanan ringan lain untuk mereka berikan kepada pesakit Covid-19 yang masih dirawat," katanya.

Katanya, projek sumbangan bekalan makanan kering ini turut dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka melalui Ikon Malaysia di negeri masing-masing.