Selangor perluas insentif RM500 untuk penjaja dan peniaga kecil

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini bersetuju untuk memperluaskan manfaat pemberian insentif bernilai RM500 secara 'one off' kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung pagi tadi mengambil keputusan untuk memperluaskan pemberian insentif bernilai RM500 secara 'one off' kepada peniaga berlesen yang menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kategori pasar tani, kiosk, gerai, medan selera dan pasar awam.

"Premis-premis yang menerima insentif ini adalah bagi yang dikuatkuasakan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, UUK Pasar dan UUK Establishment Makanan sahaja.

"Manfaat ini juga terhad kepada lesen sah tahun 2020 yang diluluskan sehingga 20 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Selangor Prihatin membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan sebanyak RM127.78 juta.

Beliau berkata, sebanyak RM40 juta bantuan khas diperuntukkan kepada penjaja dan peniaga kecil menerusi Pakej Selangor Prihatin Covid-19 fasa pertama.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan Selangor turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh permohonan bagi insentif itu sehingga 7 Jun depan.

Tambahnya, rakyat di negeri ini turut dinasihati agar dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan yang baik seperti mencuci tangan dan melakukan penjarakan sosial," katanya.