X

Kindly register in order to view this article
!

NS lulus 1,108 projek bantu sektor pembinaan

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan sebanyak 1,108 projek merangkumi perolehan tender, sebut harga dan undi di bawah peruntukan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) berjumlah RM269.44 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kelulusan itu bertujuan membantu sektor pembinaan terutama sektor pembinaan kecil agar dapat kembali pulih sekali gus membantu kontraktor kecil bumiputera kelas G1 dan G2 serta menggerakkan ekonomi negara yang berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

"Jumlah projek itu merangkumi 820 bilangan projek untuk kontraktor gred G1, 247 projek untuk gred G2; 20 projek untuk gred G3; 17 projek untuk gred G4; 1 projek untuk gred 5; 2 projek untuk gred 6 dan 1 untuk gred G7.

"Bagi mempercepatkan proses peralihan projek-projek ini, sebanyak 450 projek undi bernilai RM100,000 dan ke bawah telah diluluskan bagi merancang pertubuhan ekonomi kontraktor G1 serta memastikan kelestarian ekonomi di Negeri Sembilan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Selain itu katanya, MARRIS juga telah meluluskan 38 projek tender bernilai RM85.38 juta dan 620 projek sebut harga dengan siling RM147.13 juta.

Beliau berkata, sebanyak 65 projek lagi dengan nilai RM5 juta telah diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi bagi pelaksanaan projek-projek penyelenggaraan dan baik pulih berskala kecil yang dapat memberi manfaat kepada seramai 1,173 kontraktor gred G1 yang akan dilaksanakan secara undian.

"Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan sedang memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan perolehan ini dan undian secara dalam talian sedang dipertimbangkan.

"Kita juga telah kenal pasti projek yang akan dilaksanakan sebaik tamat tempoh PKP dan projek yang diluluskan ini perlu dimulakan selewat-lewatnya pada bulan Jun ini. Namun bergantung kepada tempoh PKP yang sedang dikuatkuasakan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!