Dr Maza menang saman terhadap pemilik akaun Facebook, peroleh ganti rugi RM250,000

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas menang dalam kes saman terhadap seorang pemilik akaun Facebook berhubung penerbitan beberapa pernyataan fitnah yang mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rihaida Rafie memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian saman fitnah difailkan Mohd Asri, 55, selaku plaintif terhadap Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, sebagai defendan.

Rihaida dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati pernyataan fitnah pertama oleh defendan adalah memfitnah plaintif, namun plaintif tidak berjaya membuktikan pernyataan kedua hingga keempat adalah memenuhi elemen fitnah terhadapnya.

"Mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan fitnah pertama memenuhi elemen-elemen fitnah. Setelah mahkamah mendapati pernyataan fitnah pertama tersebut memenuhi elemen fitnah, mahkamah seterusnya meneliti pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan.

"Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan," katanya.

Sehubungan itu, Rihaida memerintahkan Mohd Nawawi membayar ganti rugi RM250,000 secara global dan membayar faedah ke atas jumlah ganti rugi itu pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, selain kos berjumlah RM50,000 kepada Mohd Asri.

Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif agar defendan membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebooknya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, memadam pernyataan fitnah di akaun media sosial yang sama, selain defendan atau melalui pekerjanya dihalang mengeluarkan pernyataan fitnah di akaun serupa.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili Mohd Asri manakala peguam Mohd Tajudin Abd Razak bagi pihak Mohd Nawawi.

Mohd Asri yang juga pensyarah memfailkan saman itu pada 10 Okt 2024, dengan mendakwa defendan telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 Sept 2024, yang boleh diakses oleh masyarakat umum.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada GISBH.

Mohd Nawawi dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Nov 2024, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan aduan fitnah oleh plaintif adalah melampau, berlebihan dan direka bagi mendapatkan simpati mahkamah selain ia tidak benar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!