Penjual topeng muka rugi RM23,700 diperdaya pembeli

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penjual topeng muka kerugian RM23,700 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pembeli dalam kejadian 6 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, mangsa seorang wanita berusia 27 tahun dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dari Singapura dan berminat untuk membeli topeng muka.

Menurutnya, suspek dikatakan telah membuat perjanjian bayaran RM160 bagaimanapun dia telah memasukkan wang berjumlah RM1,160.

"Kemudian suspek mengarahkan penjual (mangsa) untuk memulangkan semula baki tersebut iaitu RM1,000 sebelum mangsa kemudian membuat transaksi jumlah terbabit kepada suspek.

"Bagaimanapun, suspek mendakwa wang yang dipulangkan itu masih tidak diterima hingga mangsa membuat 14 kali transaksi berjumlah RM23,700 sejak 6 April sehingga 13 April. Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas menyemak akaun miliknya itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Susulan itu, semalam mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan keldai akaun untuk memperdaya mangsa.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: