X

Kindly register in order to view this article
!

Ashraf Muslim Positif Covid-19

Ashraf Muslim FOTO: Instagram Ashraf Muslim
A
A

PELAKON Ashraf Muslim hari ini berkongsi perkembangan terkini dirinya yang kini positif dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buluh sejak 12 April lalu.

Perkongsian tersebut dibuat Ashraf, 39, menerusi Instagram miliknya yang beberapa jam tadi. Video tersebut menyaksikan Ashraf menaiki ambulan dan dalam perjalanan ke hospital.

“Tanggal 12hb April 2020 menjadi jawapan bagi saya tentang keputusan sample Covid-19. Ya, saya dijangkiti virus Covid19.

“Walaupun sebak di dada apabila mendapat tahu jawapan, tapi saya reda dengan pilihan ALLAH. Ada hikmah di sebaliknya.

“Datang perasaan nervous dan macam-macam perasaan timbul bila masuk dalam ambulan,” tulisnya.

Status kesihatan Ashraf menjadi tanda tanya ramai selepas pulang daripada menjalani penggambaran drama Demi di Scotland pada 31 Mac lalu apabila beberapa pelakon dan krew produksi drama terbabit disahkan positif Covid-19.

Ashraf dalam perkongsian yang sama turut memohon orang ramai agar mendoakan yang terbaik buat kesihatannya dan memohon maaf kepada pihak media kerana mengambil sedikit masa untuk menjelaskan keadaan dirinya.

“Please tolong doakan yang baik untuk saya dan pesakit-pesakit di sini dan juga kita semua. Semoga ALLAH jauhkann wabak ini dan tidak berterusan lagi serta sihatkan kita semua.

“Di sini juga saya memohon maaf kepada rakan-rakan wartawan yang cuba menghubungi saya sebelum ini. Harap faham dengan situasi saya sekarang ni.

“Tak lupa juga pada frontliners doctor, MA, nurse dan mereka yang terlibat. Terima kasih u all are our hero,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf juga tutut meluahkan kerinduannya keluarga, terutama pada isteri dan anak-anak yang terpaksa berjauhan dengannya.

“Kepada isteri-isteri dan anak-anak iaitu Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah, doakan ayah sungguh-sungguh supaya sembuh dari Covid ni cepat ya. Supaya kita dapat jumpa ramai-ramai.

“Ayah rindu sangat, tapi jangan risau ya ayah OK kat sini sihat. Boleh solat dan baca al-Quran macam biasa.

“Sama-sama kita berperasangka baik pada ALLAH. hanya Dia yang berikan penyakit dan dari Dia jua yang memberikan kita kesembuhan,” ujarnya.

Perkongsian tersebut menarik perhatian rakan-rakan dan para pengikutnya di laman Instagram yang membanjiri ruangan komen dengan mengirimkan doa dan kata-kata positif buat Ashraf.

Terdahulu sebelum itu, salah seorang pelakon drama tersebut, Puteri Aishah turut disahkan positif dan dirawat di hospital yang sama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus