Sindiket tawar pakej pelancongan ke Jepun tumpas, lapan warga asing ditahan

Abdul Rozak
Abdul Rozak
A
A
A

GEORGE TOWN – Kegiatan sindiket penipuan yang menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa di China dan Taiwan tumpas selepas polis menyerbu sebuah kondominium mewah di Tanjung Bungah di sini pada Khamis.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut dengan kerjasama Balai Polis Tanjung Tokong berjaya menahan lapan warga asing.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 37 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di unit kondominium berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dipercayai digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan.

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa-mangsa dari China dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.

"Kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.

"Polis akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti jenayah yang didalangi warga asing serta mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat," katanya.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!