Bayi ditemui dalam tandas maut akibat ditikam didada, kembar masih hidup - Polis

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan bayi perempuan baru lahir yang ditemui di dalam mangkuk tandas sebuah rumah teres yang dijadikan asrama pelajar kolej di Kluang semalam meninggal dunia akibat luka tikaman berganda pada bahagian dada.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pengesahan itu dibuat oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) hasil proses bedah siasat.
Beliau berkata, pihak polis juga telah merampas sebilah pisau sepanjang 24 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu serta pakaian dengan kesan darah.
Ab Rahaman berkata, hasil siasatan lanjut mendedahkan bayi tersebut dan satu lagi bayi kembar yang masih hidup merupakan hasil hubungan seks luar nikah sejak beberapa bulan lepas pasangan kekasih yang juga pelajar kolej yang ditahan.
"Berdasarkan soal siasat, suspek lelaki mengaku memberikan wang RM450 kepada teman wanitanya untuk menggugurkan kandungan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini, Ab Rahaman berkata, polis menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh bayi perempuan yang ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan bayi itu ditemukan oleh tenaga pengajar di dalam mangkuk tandas rumah berkenaan.
Pelajar itu juga melahirkan bayi perempuan di hospital berkenaan selepas doktor yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat satu lagi bayi kembar masih berada di dalam kandungannya.
Ab Rahaman berkata, pelajar lelaki direman seminggu hingga 5 Ogos, sementara kekasihnya masih ditahan wad dan menerima rawatan di HEBHK. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
