Representasi 331 pertuduhan AMLA bekas CEO, akauntan GISBH diputuskan Oktober

SHAH ALAM – Nasib bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama tiga bekas akauntannya yang berdepan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 5 Oktober depan.
Hakim, Datin Fatimah Zahari menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan representasi berkenaan masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kes itu melibatkan bekas CEO, Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 sementara Hamimah Yakub, 74 (95 pertuduhan) bernilai RM11,428,811.20.
Pasangan suami isteri iaitu Mohd Khushairi Osman, 55, pula melibatkan (91 pertuduhan) berjumlah RM11,958,561.10 dan Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, (68 pertuduhan) sebanyak RM4,688,205.01.
Semasa prosiding, Muhamad Ehsan berkata, pembelaan masih belum menerima keputusan representasi manakala pihaknya baru menerima representasi tambahan daripada pembelaan.
“Justeru, saya memohon satu tarikh baharu, lebih satu bulan dari hari ini bagi mendapatkan status representasi berkenaan,” katanya pada prosiding itu.

Peguam, Muhammad Zaim Rosli yang mewakili Nasiruddin, Asmat dan Mohd Khushairi kemudian mengesahkan pihaknya telah mengemukakan representasi tambahan.
Menurutnya, representasi itu dikemukakan bagi membolehkan pihak pendakwaan menelitinya sebelum mendapatkan pertimbangan AGC.
“Ini bagi membolehkan pendakwaan meneliti dan mendapat pertimbangan AGC,” katanya.
Pada prosiding sama, Muhammad Zaim turut hadir bagi pihak peguam, Kamal Hisham yang mewakili seorang lagi tertuduh, Hamimah.
Bagaimanapun, pihak pembelaan tidak mendedahkan kandungan representasi tersebut, termasuk sama ada ia memohon agar semua pertuduhan ditarik balik, dikurangkan atau dipinda.
Menurut semua pertuduhan, mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan beberapa akaun antara 2020 hingga 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

