Tiga DUN terus perjuang kesejahteraan rakyat

S Leza ketika walkabout sekitar DUN Pilah.
S Leza ketika walkabout sekitar DUN Pilah.
A
A
A

NEGERI Sembilan mempunyai kekuatan dalam sektor pertanian, pelancongan, perusahaan kecil serta pembangunan modal insan yang perlu diperkasakan secara berterusan.

Kawasan Pertang, Sungai Lui dan Pilah pula mempunyai keunikan tersendiri yang menjadi pemacu kepada ekonomi setempat.

Dengan pengalaman serta kepimpinan yang dekat dengan masyarakat, calon diketengahkan membawa aspirasi untuk memastikan pembangunan bukan sahaja diteruskan, malah dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

Mendengar suara rakyat, memperjuangkan kebajikan masyarakat dan memastikan khidmat kepada penduduk menjadi antara fokus calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, S Leza Md Yasin sekiranya dipilih mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

S Leza berkata, beliau tidak tampil sekadar menawarkan janji, sebaliknya membawa semangat untuk berkhidmat, mendengar dengan hati terbuka dan bekerja bersungguh-sungguh demi kesejahteraan seluruh warga Pilah.

Menurutnya, seorang wakil rakyat yang baik perlu sentiasa dekat dengan rakyat, mudah ditemui, mudah didekati serta bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya percaya wakil rakyat bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya, tetapi juga sentiasa bersama rakyat bagi memahami keperluan dan mencari penyelesaian terhadap setiap isu yang dihadapi.

“Dengan sokongan semua, saya bertekad membawa suara rakyat, memperjuangkan kebajikan masyarakat serta membina masa depan Pilah lebih baik untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan serta sokongan rakyat amat penting bagi membolehkan segala perancangan untuk memajukan DUN Pilah direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, komitmen itu akan diterjemahkan menerusi pendekatan turun padang, mendengar sendiri pandangan penduduk dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat, bukan sahaja mendengar, tetapi turut berusaha mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan warga Pilah,” katanya.

Jalaluddin mahu manfaat pembangunan dirasai penduduk

Dalam pada itu, calon BN DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, usaha membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup akan terus menjadi antara fokus utama sekiranya beliau terus diberi kepercayaan oleh rakyat.

Jalaluddin (kiri) yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan turut turun padang ke DUN Seri Menanti bersama calon di kawasan tersebut.
Jalaluddin (kiri) yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan turut turun padang ke DUN Seri Menanti bersama calon di kawasan tersebut.

Menurut beliau, usaha itu akan dilaksanakan dengan memperkasa sumber pendapatan penduduk menerusi sektor pertanian, keusahawanan kecil serta aktiviti ekonomi luar bandar yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pembangunan di Pertang juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur awam yang lebih baik, kebajikan rakyat, pendidikan dan pemerkasaan generasi muda agar manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Pada masa sama, usaha memperluaskan liputan internet di kawasan luar bandar perlu terus diperkasakan memandangkan kemudahan itu kini menjadi antara keperluan penting dalam urusan pendidikan, pekerjaan dan aktiviti ekonomi penduduk,” katanya.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan di Dewan Rakyat bagi memastikan kawasan Jelebu, Pertang dan penempatan Orang Asli di Negeri Sembilan menerima liputan internet yang lebih menyeluruh.

Katanya, walaupun beberapa kawasan telah menerima penambahbaikan melalui pemasangan pemancar baharu, usaha itu masih perlu diteruskan menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya penduduk luar bandar dapat menikmati akses internet yang lebih baik.

Mengulas mengenai pembangunan belia, Jalaluddin berkata, tumpuan bukan hanya diberikan kepada penyediaan kemudahan sukan dan riadah, sebaliknya turut merangkumi aspek pendidikan, pembentukan sahsiah, latihan kemahiran dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pendekatan turun padang, mendengar sendiri pandangan rakyat serta membantu menyelesaikan isu penduduk akan terus menjadi amalan bagi memastikan pembangunan di Pertang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Sungai Lui fokus pembangunan berteraskan PKS

Sementara itu, calon BN DUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali berkata, beberapa lagi perancangan terutama membabitkan pembangunan modal insan akan terus diberi perhatian di kawasan itu sekiranya BN kembali menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

Mohd Razi turut menyantuni anak muda sekitar DUN Sungai Lui.
Mohd Razi turut menyantuni anak muda sekitar DUN Sungai Lui.

Katanya, usaha berkenaan akan dilaksanakan seiring dengan kesinambungan agenda pembangunan yang mengambil kira keperluan serta keadaan setempat.

“Lebih 80 peratus kawasan DUN Sungai Lui terdiri daripada tanah rancangan Felda. Justeru, setiap perancangan pembangunan perlu dilaksanakan secara realistik dengan mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

“Atas faktor itu, cadangan membawa masuk industri berat bukanlah pilihan yang sesuai, sebaliknya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai potensi lebih besar untuk diperkasakan,” katanya.

Menurutnya, PKS bukan sahaja mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malah terdapat usahawan tempatan yang berjaya menghasilkan produk sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

“Jadi kita sangat menggalakkan jika ada PKS yang mahu membuka kilang di sini dengan pelbagai jenis perniagaan,” katanya.

Mengulas mengenai kempen PRN, Mohd Razi berkata, pendekatan turun padang dan bertemu pengundi secara bersemuka akan terus menjadi pendekatan utama sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, meskipun telah mewakili kawasan itu selama tiga penggal, ia bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya, peluang bertemu rakyat akan dimanfaatkan bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka.

Tambahnya, persaingan di DUN Sungai Lui berlangsung dalam suasana harmoni memandangkan calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu merupakan rakan yang dikenalinya sejak zaman persekolahan.

Pembangunan luar bandar

Sementara itu, penduduk, Amar Affizi Aziz, 42, berharap pembangunan di kawasan di luar bandar terus diberi perhatian, terutama membabitkan kemudahan asas, peluang ekonomi dan keperluan golongan muda.

Menurutnya, wakil rakyat yang dipilih perlu sentiasa dekat dengan masyarakat bagi memahami isu serta keperluan penduduk setempat.

“Apa yang penting ialah wakil rakyat perlu turun padang dan mendengar sendiri permasalahan rakyat. Setiap kawasan mempunyai keperluan berbeza yang perlu diberi perhatian selain melaksanakan manifesto yang ditawarkan khususnya membabitkan kos sara hidup dan peluang pekerjaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Tee Beng Thor, 67, berkata, usaha memperkukuhkan ekonomi setempat perlu diteruskan supaya lebih banyak peluang dapat diwujudkan kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

Katanya, pembangunan yang dirancang perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat agar manfaatnya dapat dinikmati bersama.

“Kami berharap pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi kesan positif kepada penduduk dengan keadaan aman tanpa membabitkan isu perkauman selain memastikan kawasan ini terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!