BN PN siapa abang besar?

KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mungkin dilihat sebagai strategi paling pragmatik untuk merampas tampuk pentadbiran negeri.
Namun di sebalik mesej perpaduan yang cuba dipamerkan, timbul persoalan lebih besar, siapakah sebenarnya yang akan menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan itu?
Walaupun kedua-dua pihak menegaskan fokus utama adalah kemenangan pilihan raya, realitinya persaingan untuk muncul sebagai peneraju tidak dapat dielakkan.
Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, perkara itu belum diterjemahkan dalam bentuk pertelingkahan terbuka, tetapi persaingan terserlah melalui perebutan naratif dan penonjolan kepimpinan.
“Dalam formula kerjasama yang dipersetujui, BN diberi lebih banyak kerusi untuk ditandingi dan, jika gabungan itu membentuk kerajaan negeri, BN akan mengetuai pentadbiran sekali gus mencerminkan kedudukan BN yang masih mempunyai rangkaian organisasi dan pengalaman mentadbir Negeri Sembilan.
“Bagi PN, walaupun menerima peranan BN sebagai peneraju di Negeri Sembilan, mereka menekankan bahawa kekuatan sebenar datang daripada sokongan pengundi dan prestasi calon.
“Pendekatan ini membolehkan PN menunjukkan bahawa mereka adalah rakan strategik yang mempunyai pengaruh tersendiri, bukan sekadar pelengkap kepada BN,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, BN membawa naratif kestabilan, pengalaman mentadbir dan kekuatan jentera UMNO yang dianggap masih kukuh di Negeri Sembilan.
Sebaliknya, PN tampil dengan imej pembaharuan serta menawarkan kemungkinan pembentukan landskap politik baharu sekiranya kerjasama itu berjaya.
Katanya, pertembungan dua naratif ini akhirnya menjurus kepada persoalan, siapakah yang lebih layak menjadi wajah utama gabungan?
“Kedua-dua pihak sedar bahawa konflik terbuka mengenai dominasi boleh melemahkan mesej perpaduan kepada pengundi.
“Oleh itu, persaingan lebih banyak berlaku melalui penonjolan kepimpinan, pengaruh jentera dan naratif politik berbanding perebutan kuasa secara terbuka,” katanya.
Sara berkata, kerjasama BN-PN bukan mudah kerana kedua-duanya mempunyai budaya politik dan struktur organisasi yang berbeza, pemimpin dengan cita-cita kepimpinan masing-masing dan persaingan di peringkat akar umbi yang telah lama wujud.
Jelas beliau, sekiranya tidak ada mekanisme yang jelas untuk pembahagian kuasa dan penyelesaian pertikaian, isu ‘siapa lebih dominan’ boleh menjadi punca ketegangan.
“Dalam jangka panjang, prestasi pilihan raya akan menentukan sama ada BN kekal sebagai peneraju atau PN muncul sebagai kuasa yang lebih dominan dalam gabungan tersebut.
“Dalam erti kata lain, kerjasama itu boleh bersifat saling melengkapi pada peringkat awal, tetapi persaingan untuk kepimpinan politik dijangka tetap wujud,” katanya lagi.
Sara berkata, setiap kemenangan kerusi akan menjadi ukuran pengaruh sebenar kedua-dua gabungan tersebut.
“Namun, penentuan siapa peneraju gabungan juga penting juga berikutan BN mempunyai kelebihan dari segi pengalaman pentadbiran dan organisasi.
“PN pula bergantung kepada momentum sokongan pengundi serta prestasi pilihan raya untuk membuktikan bahawa mereka layak memainkan peranan yang lebih dominan,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini BN dilihat masih mendahului dari segi struktur, pengalaman dan pembahagian kuasa berbanding PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
