Muhyiddin antara penandatangan dalam akaun sumbangan Bersatu - Saksi

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin antara individu yang mempunyai kuasa untuk menandatangani cek akaun CIMB Bank milik Bersatu yang menerima sumbangan dan yuran keahlian parti itu.

Pegawai Kewangan Bersatu, Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 34, berkata, akaun berkenaan mempunyai dua penandatangan, dengan Bendahari Agung ketika itu Datuk Mohamed Salleh Bajuri bertindak sebagai penandatangan wajib.

"Penandatangan bagi akaun berkenaan ialah presiden parti iaitu Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Timbalan Presiden ketika itu), dengan mana-mana dua daripadanya,” katanya pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram.

Muhammad Zulhelmi, saksi pendakwaan ke-22 berkata, Bersatu mempunyai dua akaun bank iaitu akaun Ambank dan CIMB Bank yang dipantau Bendahari Agung.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengenai tujuan kedua-dua akaun berkenaan, Muhammad Zulhelmi berkata, akaun CIMB Bank untuk menerima sumbangan dan yuran keahlian, manakala Ambank bagi urusan pentadbiran dan operasi.

Mahadi: Jadi Encik Zulhelmi, untuk kesemua derma (sumbangan) oleh orang awam atau syarikat akan dimasukkan ke dalam akaun bank mana?

Muhammad Zulhelmi: Akaun CIMB Bank.

Saksi itu berkata Bendahari Agung (Mohamed Salleh) bertanggungjawab untuk melaporkan urusan kewangan Bersatu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Kepada soalan Mahadi adakah MPT termasuk Presiden Bersatu dan Muhammad Zulhelmi menjawab "ya”.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin bahawa tiada mana-mana individu yang mempunyai kawalan eksklusif terhadap kewangan parti, walaupun mempunyai dua penandatangan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai peranan Muhyiddin dalam jawatankuasa pengurusan parti itu, Muhammad Zulhelmi berkata beliau menyelia dengan mengambil tahu peranan dan perjalanan hal ehwal pengurusan parti itu.

Saksi itu berkata, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal pentadbiran, pengurusan parti dan kewangan.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada 17 Ogos. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!