ASEAN perlukan modal besar, perkongsian lebih kukuh untuk percepatkan peralihan tenaga - PM

PETALING JAYA - ASEAN memerlukan modal yang besar, berterusan dan berstruktur untuk membina ladang solar, menaik taraf grid, memasang storan bateri, dan meningkatkan kemahiran pekerja kerana kerajaan tidak mampu menanggung beban ini secara sendirian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian peralihan tenaga secara besar-besaran akan memerlukan kerjasama yang belum pernah berlaku sebelum ini antara sektor awam, pelabur swasta dan pemaju projek untuk mengerahkan pembiayaan diperlukan.
"Sumber bahan api fosil telah memacu pertumbuhan perindustrian dan membantu meningkatkan taraf hidup bagi Malaysia dan banyak negara lain di dunia.
"Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan juga bahawa hari ini model ini semakin terdedah kepada realiti global baharu, terutamanya ketegangan geopolitik dan pergolakan yang baru sahaja saya sebutkan, ia mengganggu rantaian bekalan and memacu harga yang tidak menentu, kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Peralihan dan Integrasi Tenaga Kawasan Greater Bay (GBA)-ASEAN, pada Rabu.
Anwar menegaskan bahawa peralihan ke arah sumber tenaga boleh baharu dan bersih bukan sekadar pilihan ekologi tetapi satu keutamaan teras keselamatan negara.
"Ia adalah penting untuk mengukuhkan keselamatan tenaga Malaysia dan rantau ini. Pada masa sama, peralihan itu adalah mengenai daya saing ekonomi, katanya.
Beliau juga berkata, sektor tenaga bersih China kini menyumbang lebih daripada 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, dan libat urus lebih mendalam dengan China dan negara rakan kongsi lain harus diterajui melalui mekanisme pimpinan ASEAN, seperti Grid Kuasa ASEAN.
Anwar berkata, bahawa proses peralihan tenaga tidak bergerak dengan mudah, selain itu integrasi juga tidak boleh diteruskan secara bersendirian.
"Sebelum krisis tenaga semasa pun, pergantungan berlebihan terhadap bahan api fosil telah menarik banyak perhatian negara-negara ASEAN kepada alternatif seperti solar dan angin. Namun begitu, kuasa nuklear kelihatan diketepikan serta tidak diberi perhatian utama.
"Ini agak merugikan memandangkan rantau ini mempunyai pengalaman pengawalseliaan kukuh serta kepakaran teknikal diperlukan untuk meneruskan tindakan yang boleh menyumbang secara signifikan ke arah merealisasikan teras Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga,” katanya.
Sementara itu, persidangan itu disokong oleh Rangka Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berperanan sebagai platform strategik untuk Malaysia merapatkan Asia Tenggara dan Greater Bay Area (GBA) di China.
GBA, secara rasmi dikenali sebagai ‘Greater Bay Area Guangdong-Hong Kong-Macao’, adalah inisiatif kerajaan China menyepadukan 11 bandar menjadi satu hab ekonomi dan inovasi.
Disokong oleh Dewan Perniagaan ASEAN yang baru dilancarkan di Hong Kong, Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan pasaran kewangannya sebanyak RM4.3 trilion, berteraskan kepada kepimpinanannya merintis dalam sukuk hijau, selain daripada kepakaran dalam teknologi GBA.
Sinergi strategik ini direka bentuk untuk mengurangkan risiko pelaburan hijau dan menggantikan rantaian bekalan bahan api fosil global yang terdedah kepada risiko dengan alternatif serantau yang stabil dan bersepadu secara mendalam di seluruh zon Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Pusat kepada strategi serantau itu ialah peluasan fizikal Grid Kuasa ASEAN, diperkukuh oleh Tabung Ketersambungan Tenaga Serantau yang baru ditubuhkan.
Kejayaan operasi Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura telah menunjukkan bahawa perdagangan elektrik bersih merentas sempadan sudah pun menjadi satu realiti praktikal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
