Bapa didakwa bunuh bayi lelaki 18 bulan

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, G Thevendhiran, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini bekerja di Singapura didakwa membunuh anak lelakinya di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya, antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqila Aliman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh didenda RM3,000 dan sebulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbitnya.
Majistret A Shaarmini turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan kondominium sama pada jam 1 petang, pada 18 Julai lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 29(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.
Terdahulu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian bayi 18 bulan tiga tahun lalu sebagai kes bunuh susulan penahan bapa kandung mangsa yang dikenal pasti sebagai suspek utama pada 18 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya itu ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 13 September 2023 dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

