Mayat pembaca berita Papua Barat ditemukan selepas 9 hari hanyut

JAKARTA – Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan, pembaca berita TVRI Papua Barat, Yanto Idorway atau nama sebenarnya, Suryanto Idorway ditemukan meninggal dunia di Sungai Memti Kabupaten Pergunungan Arfak, Papua Barat.
Memetik laporan berita Jawa Pos, Yanto dilaporkan hanyut ketika beriadah bersama dua rakannya di kawasan Air Terjun Memti pada Sabtu lalu.
Semasa cuba menyeberangi sungai, dia dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus deras.
Pasukan pencari dan penyelamat gabungan yang terdiri daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) serta penduduk tempatan akhirnya menemui mangsa pada Isnin kira-kira jam 11.05 pagi (waktu tempatan).
Mangsa ditemukan tersepit pada celah-celah batu sungai, kira-kira 10 meter dari lokasi awal dia dipercayai terjatuh.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Manokwari untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
