Salam Agrikomoditi permudah akses bantuan kerajaan

Ahmad Zahid (duduk, empat dari kanan) dan Noraini (tiga dari kiri) pada Program Salam Agrikomoditi di Kuala Pilah.
Ahmad Zahid (duduk, empat dari kanan) dan Noraini (tiga dari kiri) pada Program Salam Agrikomoditi di Kuala Pilah.
A
A
A

PENDEKATAN turun padang yang dilaksana kementerian melalui pelbagai program bersama masyarakat merupakan antara kaedah paling berkesan bagi memastikan segala dasar kerajaan benar-benar sampai ke bawah.

Lebih penting lagi, ia ruang untuk mendengar sendiri pandangan, aduan serta keperluan rakyat yang dapat membantu kerajaan menambah baik segala dasar supaya lebih menepati kehendak rakyat.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkenalkan Program Salam Agrikomoditi supaya kementerian itu lebih dekat dengan masyarakat.

Program dilaksana di Dataran Melang, Kuala Pilah baru-baru ini ternyata memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya pekebun kecil untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan bantuan, latihan dan peluang yang disediakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji usaha KPK menganjurkan program berkenaan dan berharap ia diteruskan kerana mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, ia menjadi platform terbaik untuk bertemu para pekebun kecil, usahawan dan warga agrikomoditi yang menjadi antara tunjang kepada pembangunan ekonomi di pedesaan.

"Saya percaya kemajuan sektor agrikomoditi bukan hanya bergantung dasar baik, tetapi juga kepada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta seluruh agensi pelaksana," katanya.

Ahamd Zahid (dua dari kiri) melawat reruai di program Salam Agrokomoditi di Kuala Pilah.
Ahamd Zahid (dua dari kiri) melawat reruai di program Salam Agrokomoditi di Kuala Pilah.

Tambahnya, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar terus berkembang dan dengan kestabilan politik, kepimpinan yang berwibawa serta pentadbiran yang baik, lebih banyak pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan dapat dibawa demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Insya-ALLAH, kita akan terus bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan setiap dasar yang dirancang benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat di Kuala Pilah dan seluruh Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program tersebut lahir daripada hasrat yang cukup mudah iaitu memastikan kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa hadir bersama rakyat, bukannya hanya dikenali ketika urusan rasmi.

Menurut beliau, masih terdapat sebahagian masyarakat belum benar-benar memahami peranan kementerian selain tidak mengetahui bantuan, latihan serta pelbagai peluang yang disediakan.

"Ada yang mahu mengikuti latihan tetapi tidak tahu hendak bermula dari mana. Ada juga yang mempunyai perusahaan tetapi masih mencari panduan untuk bergerak lebih jauh.

"Kadang-kadang peluang itu ada dan maklumatnya juga tersedia, namun jarak antara masyarakat dengan agensi menyebabkan peluang tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Atas dasar itu, Noraini berkata, kementeriannya memilih untuk turun padang bertemu rakyat berbanding hanya menunggu masyarakat datang mendapatkan perkhidmatan.

Tiada jurang dengan rakyat

Melalui program itu, jelas beliau, orang ramai berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai kementerian dan agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan mengenai bantuan, latihan, pensijilan, khidmat teknikal serta pelbagai peluang dalam sektor agrikomoditi.

"Kita mahu urusan ini dibuat dalam suasana santai dan mesra. Tidak terlalu rasmi serta tidak ada jurang antara pegawai dengan masyarakat, sekali gus memudahkan orang ramai datang bertanya dan mendapatkan penjelasan," katanya.

Ahmad Zahid memakaikan vest kepada Skuad Agrikomoditi Kuala Pilah.
Ahmad Zahid memakaikan vest kepada Skuad Agrikomoditi Kuala Pilah.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar membuka reruai atau menganjurkan ceramah, sebaliknya dipenuhi dengan aktiviti komuniti, kekeluargaan, perkongsian maklumat serta ruang untuk pegawai dan masyarakat saling mengenali.

Sepanjang program berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan antaranya memberi penerangan kepada pekebun kecil mengenai bantuan serta khidmat teknikal, mendedahkan belia kepada peluang latihan dan kerjaya, selain memberikan panduan kepada usahawan berkaitan pembangunan perusahaan serta akses pasaran.

Program itu turut memberi tumpuan kepada penerangan mengenai BUDI Agrikomoditi, iaitu inisiatif subsidi bersasar yang membantu petani dan pekebun kecil komoditi yang layak meringankan sebahagian kos penggunaan diesel bagi kegiatan pertanian dan pengeluaran komoditi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Norhashimah Mahat, 62, berkata, beliau hadir ke program tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang disediakan kerajaan kepada peniaga kecil sepertinya.

Norhashimah
Norhashimah

"Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya berniaga daging salai secara kecil-kecilan dari rumah. Alhamdulillah, perniagaan saya semakin baik dan saya berhasrat mengembangkannya lagi. Jadi, saya datang ke sini untuk mencari peluang yang ada. Mana tahu suatu hari nanti saya boleh menjadi usahawan yang berjaya," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Juriah Yusof, 66, berpendapat penganjuran program seumpama itu perlu diperluaskan terutama di kawasan luar bandar kerana mampu membantu mempromosikan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Banyak gerai jualan di sini yang menjual produk-produk yang dihasilkan penduduk kampung, ada yang saya tak pernah nampak pun. Bagi saya baguslah dan ia perlu diteruskan di tempat tempat lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!