Sindiket godam MyIMMs: Ramai lagi dalam radar SPRM

PUTRAJAYA - Ramai lagi individu berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan berhubung sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan kes ini masih dijalankan pihaknya.
"Jumlah yang terbabit itu boleh dikatakan ramai dan siasatan masih berjalan untuk meneliti tahap pembabitan mereka.
"Kita menjangkakan lebih banyak tangkapan serta sitaan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Tambah Abd Halim, Op Crack bermula hasil perkongsian maklumat risikan antara JIM dan SPRM sejak Mei lalu sebelum operasi dilaksanakan pada 28 Julai.
Katanya, operasi itu membabitkan Cawangan Projek Khas Bahagian Perisikan SPRM bersama Bahagian Perisikan JIM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Bahagian Forensik Teknologi SPRM.
"Sehingga kini, seramai 12 individu direman antara dua hingga tiga hari bermula 29 Julai hingga hari ini bagi membantu siasatan," ujarnya.
Jelas Abd Halim, SPRM turut memanggil empat individu untuk dirakam keterangan dan akan memanggil beberapa lagi individu sebagai saksi bagi membantu siasatan.
Sepanjang Op Crack, SPRM menyita wang tunai RM186,360, mata wang asing berjumlah 700 dolar Singapura (RM2,313), 19 telefon bimbit, enam komputer riba, dua komputer, dua unit CPU dan router.
Kata beliau, turut disita ialah tujuh keping jongkong emas seberat 0.2 gram setiap satu, sekeping jongkong emas seberat dua gram, satu rantai emas, satu gelang emas dan satu rantai kunci emas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15,700, manakala tindakan pembekuan akaun individu sertai syarikat sedang dilaksanakan.
"Sidang media hari ini jelas menunjukkan bahawa usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan jenayah siber memerlukan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan.
"SPRM akan terus komited memastikan setiap ruang kelemahan dalam sistem negara ditutup agar keselamatan dan integriti pentadbiran awam sentiasa terpelihara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
