Myanmar lulus hukuman mati terhadap jenayah scam

YANGON - Parlimen Myanmar disokong tentera pada Selasa meluluskan undang-undang yang membenarkan hukuman mati terhadap individu yang menahan atau memaksa mangsa untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.
Menurut Speaker Parlimen Kesatuan, Aung Lin Dwe, rang undang-undang (RUU) Antipenipuan Dalam Talian itu diluluskan selepas pindaan terhadap draf asal dipersetujui.
"Tiada banyak perubahan besar dibuat. Bahagian penting dalam RUU itu kekal sama," ujarnya.
Draf undang-undang yang diterbitkan pada Mei lalu menyatakan hukuman penjara 10 tahun hingga seumur hidup dan hukuman mati boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan 'keganasan, penyeksaan, penahanan secara tidak sah atau layanan kejam terhadap seseorang bagi tujuan memaksa mereka melakukan aktiviti scam dalam talian.
RUU itu turut menetapkan penjara seumur hidup sebagai hukuman maksimum terhadap mereka yang 'mengendalikan pusat penipuan dalam talian' dan individu yang terlibat dalam 'penipuan mata wang kripto'.
Myanmar yang dilanda konflik menyaksikan pertumbuhan pesat pusat penipuan dalam talian dengan sindiket jenayah itu menyasarkan mangsa di seluruh dunia.
Langkah tegas membanteras kegiatan scam itu merupakan undang-undang pertama yang diluluskan oleh kerajaan baharu Myanmar yang diterajui bekas ketua junta, Min Aung Hlaing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

