IMTF2030 bukti komitmen kerajaan perkasa masyarakat India Muslim

Perdana Menteri meluncurkan dokumen Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) disaksikan oleh Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, pada 24 Julai lalu. Gambar kecil: Profesor Dr Mizan Aslam
Perdana Menteri meluncurkan dokumen Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) disaksikan oleh Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, pada 24 Julai lalu. Gambar kecil: Profesor Dr Mizan Aslam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa pembangunan masyarakat India Muslim secara lebih sistematik dan menyeluruh.

Profesor Kehormat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mizan Aslam berkata, kerangka tersebut bukan sekadar pengiktirafan kepada komuniti India Muslim, sebaliknya menjadi pelan tindakan yang memberi fokus kepada pembangunan pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan penyertaan masyarakat dalam pembangunan negara.

Menurutnya, masyarakat India Muslim yang dianggarkan berjumlah hampir 800,000 orang mempunyai sejarah panjang dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, kewartawanan, kesusasteraan, kebajikan dan politik.

“Walaupun bilangannya lebih kecil berbanding komuniti utama lain, sumbangannya terhadap pembangunan negara tidak boleh dipandang remeh.

“Kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan masyarakat, mengakui masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan dasar serta memberikan komitmen terhadap aspek pendidikan, perumahan, pembiayaan, pekerjaan, kebajikan dan perniagaan wajar dihargai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Perdana Menteri berucap merasmikan Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, pada 24 Julai lalu.
Perdana Menteri berucap merasmikan Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, pendekatan tersebut mencerminkan kepimpinan yang responsif apabila kerajaan bukan sahaja mengumumkan dasar, malah membuka ruang kepada organisasi masyarakat untuk menjadi penghubung antara rakyat dengan institusi kerajaan.

Menurutnya, IMTF2030 dibangunkan sebagai pelan tindakan lima tahun yang menetapkan sasaran pembangunan secara lebih tersusun serta boleh diukur pencapaiannya.

Artikel Berkaitan:

Antara sasaran yang digariskan ialah penyediaan dana RM50 juta bagi biasiswa dan pembangunan bakat, meningkatkan kemahiran 50,000 individu, membantu pendigitalan 2,500 perusahaan serta memperkasa sosioekonomi 10,000 keluarga.

Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, berucap menjelaskan gerak kerja Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030).
Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang, berucap menjelaskan gerak kerja Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030).

Selain itu, kerangka tersebut turut menyasarkan pembangunan 500 perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, melahirkan 50 jenama tempatan yang mampu menembusi pasaran eksport, mewujudkan peluang perolehan RM10 bilion dalam rantaian bekalan tempatan serta menjana nilai ekonomi terkumpul sehingga RM250 bilion menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Dr Mizan berkata, sasaran yang ditetapkan mampu mendorong masyarakat India Muslim meneroka sektor ekonomi baharu dan tidak hanya bergantung kepada bidang tradisional.

Katanya, generasi muda perlu diberi peluang untuk berkembang dalam bidang strategik seperti AI, semikonduktor, sains data, penyelidikan, profesionalisme dan keusahawanan teknologi.

Beliau berkata, antara inisiatif penting di bawah IMTF2030 ialah MUKMIN Future Leaders Scholarship (MFLS) yang berjaya memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM10 juta hasil kerjasama dengan lapan institusi pengajian tinggi.

“Inisiatif ini membuka lebih 400 peluang pendidikan kepada generasi muda, khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun, biasiswa perlu disokong dengan latihan kepimpinan, bimbingan kerjaya, penguasaan bahasa, kemahiran digital, penempatan industri serta sistem pementoran,” katanya.

Seorang pelajar, Razinah Abdul Manaf, menerima biasiswa MUKMIN Future Leaders Scholarship (MFLS) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian dari Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang pelajar, Razinah Abdul Manaf, menerima biasiswa MUKMIN Future Leaders Scholarship (MFLS) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian dari Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kelulusan segera peruntukan RM2 juta oleh Perdana Menteri bagi pendidikan dan kebajikan anak-anak daripada keluarga memerlukan sebagai bukti sokongan kerajaan terhadap pelaksanaan awal IMTF2030.

Beliau turut menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor restoran diselesaikan mengikut keutamaan dalam tempoh sebulan.

Namun katanya, penyelesaian jangka panjang perlu memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui automasi, latihan pekerja tempatan serta pembaharuan model perniagaan.

Mengulas mengenai pelaksanaan IMTF2030, Dr Mizan berkata, pengalaman lebih tiga dekad Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood dalam sektor keusahawanan, korporat dan pembangunan bakat diyakini mampu memperkukuh pelaksanaan kerangka tersebut.

Beliau berkata, kejayaan IMTF2030 bagaimanapun bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta, institusi kewangan, badan profesional dan organisasi masyarakat.

“Setiap sasaran perlu disertakan garis masa, petunjuk prestasi utama (KPI), pihak bertanggungjawab serta laporan kemajuan yang telus bagi memastikan IMTF2030 benar-benar mencapai matlamatnya.

“IMTF2030 membawa mesej bahawa masyarakat India Muslim mahu menjadi rakan pembangunan negara, bukan sekadar penerima bantuan, sekali gus memperkukuh sumbangan mereka kepada ekonomi nasional,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!