Alexander Arnold lebih bagus daripada Neville

Trent Alexander Arnold
Trent Alexander Arnold
A
A
A

TONGGAK Liverpool, Trent Alexander Arnold dinilai mampu menjadi salah seorang pemain pertahanan terbaik di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mampu mengatasi pencapaian legenda Manchester United, Gary Neville.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher berkata, Alexander Arnold mempunyai kualiti yang lebih baik dari Neville dan mampu berkembang menjadi pemain yang mampu mencipta nama sebagai pemain pertahanan kanan terbaik dunia.

"Saya rasa ada seorang anak muda di Liverpool yang akan mengambil status pemain pertahanan kanan terbaik itu daripada Neville.

"Saya dulu pernah kata kalau pemain-pemain di sini (EPL) tidak ada yang mampu menjadi seperti Neville, tetapi Alexander Arnold akan mengubahnya," katanya.

Pemain 21 tahun itu menjadi salah seorang bintang Liverpool dalam beberapa musim terakhir ini. Selain mampu bertahan, Alexander Arnold juga cemerlang ketika membantu serangan pasukan.

Pada musim ini saja, dia sudah mencatatkan 12 bantuan gol di EPL yang menyamai rekod yang dibuatnya musim lalu dan turut memecahkan rekod pemain pertahanan yang paling banyak membuat bantuan gol di EPL.

Malah, Alexander Arnold juga menjadi watak penting ketika kejayaan memenangi trofi Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab sekali gus menyebabkan pemain itu disamakan dengan pertahanan kanan legenda United, Neville.

Sepanjang karier bola sepak Neville bersama United sejak 1992 hingga 2011, beliau berjaya merangkul 17 kejuaraan utama daripada saingan EPL sehingga Liga Juara-Juara dan dilabel pertahanan kanan terbaik EPL sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Carragher mahu Alexander Arnold meningkatkan kualiti permainan dan berusaha menjadi seorang pemain yang lebih baik.

"Usianya masih muda dan masih boleh berkembang. Saya yakin dia akan dikenali sebagai pemain terbaik dunia dalam waktu terdekat," katanya.