Kanak-kanak antara 30 maut dalam serangan kumpulan bersenjata di Nigeria

ABUJA - Lebih 30 orang termasuk kanak-kanak terbunuh selepas kumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah komuniti di Negeri Kaduna, utara Nigeria pada lewat Ahad, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.
Ramai penduduk mengalami pelbagai tahap kecederaan apabila kumpulan bersenjata itu melepaskan tembakan serta membakar rumah dan kedai di Komuniti Naridon dalam Kawasan Kerajaan Tempatan Kauru, menurut akhbar harian kebangsaan Nigeria, The Punch.
Memetik pemimpin komuniti, akhbar itu melaporkan bahawa serangan bermula pada kira-kira 11.00 malam waktu tempatan (2200 GMT) pada Ahad.
Ia berkata, angka korban mungkin meningkat memandangkan beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Dogon Rana, seorang penduduk tempatan yang rumahnya musnah dalam serangan itu memberitahu pemberita bahawa kumpulan bersenjata terbabit mengepung komuniti pedalaman berkenaan dan menyerang secara membabi buta.
Motif serangan masih tidak jelas, manakala pihak polis tempatan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.
Negeri Kaduna sering menyaksikan insiden serangan berdarah berulang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk perbalahan antara komuniti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
