Pulo tolak dakwaan kaitkan Malaysia biaya perjuangan Patani

KOTA BHARU - Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (Pulo) menolak sebarang cubaan mengaitkan Malaysia dengan dakwaan pemberian sokongan atau pembiayaan kepada perjuangan Patani tanpa bukti yang kukuh dan boleh disahkan.
Presiden Pulo, Kasturi Mahkota berkata, sebarang tuduhan berkaitan perkara itu perlu berasaskan fakta, bukannya spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Thailand.
“Sebarang dakwaan seperti ini hendaklah disokong dengan bukti yang kukuh dan boleh disahkan.
“Janganlah membuat tuduhan berdasarkan spekulasi atau andaian kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik antara Thailand dan Malaysia serta mengganggu usaha ke arah perdamaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Malaysia selama ini memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam proses dialog damai antara pihak berkaitan konflik selatan Thailand dan peranan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bentuk sokongan terhadap mana-mana pihak dalam konflik tersebut.
Kasturi berkata, penglibatan Malaysia dalam proses berkenaan perlu dilihat sebagai usaha diplomasi bagi membantu mencari penyelesaian politik secara aman dan menyeluruh.
“Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam proses dialog damai.
“Pulo melihat peranan tersebut sebagai satu usaha untuk membantu mencari penyelesaian politik secara aman dan bukannya sebagai bukti sokongan terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk media supaya melaporkan isu berkaitan konflik Patani secara bertanggungjawab dengan berpandukan fakta selain mengelakkan penyebaran dakwaan yang boleh menjejaskan proses perdamaian.
Katanya, keutamaan semua pihak seharusnya adalah mencari jalan bagi menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan berkekalan di Patani.
“Pulo tetap menyokong proses dialog dan rundingan damai yang inklusif, serta menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam usaha menuju kepada penyelesaian yang aman, adil, menyeluruh dan berkekalan,” katanya.
Isu kaitan Malaysia dengan perjuangan Patani sebelum ini pernah menjadi perhatian apabila wujud dakwaan daripada beberapa pihak mengenai kemungkinan sokongan dari wilayah Malaysia terhadap kumpulan tertentu.
Konflik di selatan Thailand melibatkan isu sejarah, identiti, politik dan tuntutan masyarakat Melayu Patani dengan pelbagai pihak sejak sekian lama terlibat dalam usaha mencari penyelesaian melalui rundingan serta pendekatan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

