Kontroversi promosi 'after-party': MYBW mohon maaf, jelaskan MDEC tidak terlibat

MYBW memohon maaf susulan kontroversi yang melibatkan bahan promosi after-party, sambil menjelaskan bahawa MDEC tidak terlibat. Foto: Instagram @malaysiabcw.
MYBW memohon maaf susulan kontroversi yang melibatkan bahan promosi after-party, sambil menjelaskan bahawa MDEC tidak terlibat. Foto: Instagram @malaysiabcw.
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia Blockchain Week (MYBW) memohon maaf susulan kontroversi berkaitan bahan promosi majlis selepas persidangan (after-party).

Jawatankuasa Penganjur MYBW dalam kenyataan pada Isnin mengakui kebimbangan yang dibangkitkan terhadap bahan promosi berkenaan dan menegaskan komitmen mereka untuk terus memelihara kepercayaan kerajaan, rakan kerjasama, penaja dan pihak berkepentingan.

Pihak terbabit turut menjelaskan bahawa Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tidak terlibat dalam pemilihan individu yang dipaparkan mahupun penganjuran dan promosi majlis selepas persidangan tersebut.

"Kami ingin menjelaskan dengan tegas bahawa MDEC tidak dirujuk, tidak terlibat dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pemilihan individu yang dipaparkan atau penganjuran serta promosi majlis selepas persidangan itu.

"Semua keputusan berkaitan majlis selepas persidangan dibuat secara bebas oleh penganjur berkenaan dan tidak mencerminkan pandangan, penglibatan atau sokongan daripada Kementerian Digital mahupun MDEC," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tercetusnya kritikan dalam talian terhadap promosi majlis selepas persidangan yang mengundang persoalan mengenai pemilihan individu yang dipaparkan dan kaitannya dengan acara yang mempunyai hubungan dengan agensi kerajaan.

Ia memaparkan Ms PuiYi, yang sebelum ini dikenali umum menerusi latar belakangnya dalam industri hiburan dewasa.

Pemilihan personaliti tersebut mengundang kritikan daripada sebahagian masyarakat yang mempersoalkan kesesuaiannya untuk dikaitkan dengan acara berkaitan industri blockchain yang turut melibatkan pihak berkepentingan sektor awam.

Jawatankuasa Penganjur MYBW turut mengakui bahawa mereka sepatutnya mengambil langkah yang lebih teliti bagi memastikan semua aktiviti dan bahan promosi yang dikaitkan dengan MYBW mencerminkan tahap profesionalisme yang diharapkan bagi sebuah acara yang melibatkan industri serta sektor awam.

Susulan kebimbangan yang dibangkitkan, penganjur memaklumkan bahawa beberapa langkah pembetulan telah diambil bagi menangani isu tersebut serta memastikan majlis selepas persidangan itu dipisahkan dengan jelas daripada program rasmi persidangan.

"Berkuat kuasa serta-merta, semua bahan promosi berkaitan majlis selepas persidangan telah ditarik balik," menurut kenyataan itu.

Walaupun berdepan kontroversi, jawatankuasa itu menegaskan bahawa Malaysia Blockchain Week 2026 akan diteruskan seperti dijadualkan dengan tumpuan utama untuk mempamerkan inovasi, menggalakkan penglibatan industri serta menyokong pertumbuhan ekosistem blockchain dan aset digital di Malaysia.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti semula proses kelulusan dalaman dan tadbir urus penganjuran acara bagi memperkukuh aspek pemantauan serta akauntabiliti pada masa hadapan.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat aktiviti selepas persidangan sepatutnya memberi tumpuan kepada sesi jaringan profesional, padanan perniagaan atau peluang menghubungkan pelabur dengan syarikat.

Seorang pengguna Threads mempersoalkan tindakan mencampurkan profesionalisme dengan imej yang dikaitkan dengan unsur tidak bermoral?

"Saya tidak kisah sama ada sasaran peserta ialah ekspatriat atau pihak lain, tetapi ia tetap kelihatan tidak sesuai," ujarnya.

Seorang lagi pengguna pula berpandangan bahawa selepas sesuatu acara, banyak lagi aktiviti yang boleh dianjurkan seperti sesi jaringan, padanan perniagaan atau menghubungkan pelabur dengan syarikat.

"Sebagai individu yang serius mengendalikan acara jaringan dan perniagaan, perkara ini benar-benar mengelirukan saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!