Monyet Jepun tular, Punch sambut ulang tahun pertama, terima lebih 2,500 ucapan

CHIBA (Jepun) - Monyet Jepun yang tular, Punch, menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya pada Ahad di sebuah zoo berhampiran Tokyo dengan menerima lebih 2,500 mesej ucapan daripada peminat dari dalam dan luar Jepun, lapor Kyodo News.
Punch menjadi tular selepas dilihat memeluk mainan berbentuk orang utan apabila ditinggalkan oleh ibunya. Namun, menurut Zoo Bandar Ichikawa, Punch kini sudah menyesuaikan diri untuk hidup bersama kumpulan monyet lain. Zoo yang terletak di Wilayah Chiba itu turut mempamerkan semua mesej ucapan di satu sudut khas dalam kawasan zoo.
Sejak kebelakangan ini, Punch mula meluangkan masa bersama anak-anak monyet yang lain dan gemar berbaring terlentang, kata pegawai bandar.
"Dia sedang mempelajari kemahiran bersosial dan mula menemui tempatnya sendiri dalam kumpulan," kata seorang pegawai Takashi Yasunaga.
Zoo itu tidak mengadakan sebarang majlis sambutan hari jadi khas untuk Punch selaras dengan dasar layanan sama rata kepada semua haiwan. Sebaliknya, pihak zoo menggalakkan orang ramai menghantar mesej ucapan dan menerima pelbagai kata-kata semangat termasuk daripada Britain dan Kanada, sebahagiannya disertakan dengan lukisan tangan.
Semua mesej itu akan dipamerkan sehingga 30 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
