Mangsa culik RM7 juta ditahan bawah LLPK, disyaki terlibat sindiket dadah

SUBANG JAYA - Mangsa dalam kes culik dan tuntutan tebusan RM7 juta yang diselamatkan di Selangor pada Sabtu lalu, kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Selangor pada Selasa.
Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah membabitkan kes komersial dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
“Ketika ditahan, lelaki terbabit positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang dilaporkan diculik serta menahan enam individu dipercayai terlibat dalam tuntutan wang tebusan RM7 juta menerusi operasi khas di Selangor.
Enam individu termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 46 tahun direman selama 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel berkaitan: Tuntut tebusan RM7 juta: Polis selamatkan mangsa culik, tahan enam suspek
Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, pihaknya turut menahan dua lagi individu berusia lingkungan 30-an yang disyaki terbabit dalam kes culik tersebut di sekitar Selangor pada Selasa.
"Seorang daripada dua individu terbabit adalah bekas anggota polis yang telah dipecat pada 2023 kerana terbabit dalam kes dadah.
“Kedua-dua lelaki terbabit direman 10 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
