BN tolak perkauman, 'politik ketakutan' — Zambry

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) menolak tegas sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman serta 'politik ketakutan' yang dimainkan pihak tertentu demi membina tembok pemisah antara kaum di negara ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gabungan politik pelbagai kaum itu tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia mahupun menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
"Selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, amalan politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum sudah tidak mempunyai tempat dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zambry membidas naratif politik ketakutan yang menggambarkan kononnya nasib sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memegang tampuk pemerintahan negara.
Tegas beliau, pendekatan politik sedemikian amat berbahaya kerana ia mengundang rasa curiga, prasangka dan kebencian dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, BN turut memberikan penegasan berhubung persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
"Kerjasama politik berkenaan tidak sekali-kali bermaksud BN menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak, sebaliknya BN kekal berdiri teguh atas prinsip sendiri," katanya.
Beliau menambah, BN telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan, yang menjadi kekuatan utama gabungan itu dalam memelihara kestabilan, keharmonian serta kemajuan negara.
Sehubungan itu, BN komited untuk terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan, di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan asal.
Formula itu meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta menjamin hak-hak sah seluruh warganegara Malaysia.
"Barisan Nasional menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan.
"BN akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

