BN lebih mudah jelas kerjasama dengan PN berbanding PH - Tok Mat

Mohamad ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup anjuran Pemuda Rantau di Padang Perumahan Prima, Bandar Ekar.
Mohamad ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup anjuran Pemuda Rantau di Padang Perumahan Prima, Bandar Ekar.
A
A
A

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) mengakui lebih mudah menjelaskan kepada pengundi mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya kali ini berbanding Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan pengundi terhadap kerjasama berkenaan juga amat baik sepanjang tempoh berkempen.

"Dari segi penerimaan pengundi pada pilihan raya kali ini berbanding pilihan raya yang lepas amat baik sekali dan kita berharap supaya ia diterjemahkan dalam peti undi pada 1 Ogos nanti.

"Kita tidak menghadapi banyak persoalan. Pasukan jentera juga berjalan dengan baik. Petugas-petugas melakukan tugasan masing-masing dengan teratur dan menyantuni seramai mungkin pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup anjuran Pemuda Rantau di Padang Perumahan Prima, Bandar Ekar di sini pada Ahad.

Mohamad (dua dari kiri) hadir Majlis Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup anjuran Pemuda Rantau di Padang Perumahan Prima, Bandar Ekar.
Mohamad (dua dari kiri) hadir Majlis Ramah Mesra Sepak Penalti Tertutup anjuran Pemuda Rantau di Padang Perumahan Prima, Bandar Ekar.

Menurutnya, persefahaman taktikal antara BN dan PN akan lebih memudahkan pengundi Melayu membuat keputusan kerana tiada lagi pertembungan sesama parti-parti Melayu seperti yang berlaku dalam pilihan raya lalu.

Malah katanya, keadaan itu dapat mengelakkan perpecahan undi yang sebelum ini telah menguntungkan pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

"Dulu susah sikit BN nak terangkan kepada pengundi berbanding sekarang. Jadi itu sebabnya kita buat satu persefahaman taktikal untuk harungi Pilihan Raya Negeri ini.

"Terutamanya untuk pengundi-pengundi Melayu, mereka mahu melihat tidak ada pertembungan parti-parti Melayu kerana dulu mereka berbelah bahagi untuk membuat pilihan," katanya.

Calon Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau itu turut mengakui bahawa persefahaman antara BN-PN telah memberi sedikit kelebihan kepada mereka untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu, Mohamad menepis dakwaan kononnya persefahaman tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

"UMNO-BN masih menjadi parti terbesar dalam gabungan tersebut apabila bertanding 25 kerusi, manakala Pas hanya bertanding lima kerusi dan baki enam kerusi ditandingi parti-parti lain termasuk komponen bukan Melayu.

"Jadi tak perlu berasa gusar dan ini cuma momokan ataupun propaganda pihak sebelah yang mengatakan adanya persefahaman antara BN dan PN untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu," katanya.

Jelasnya, Pas sendiri telah mengatakan bahawa mereka hanya mahu memastikan PH tewas di Negeri Sembilan dan tidak mempunyai niat untuk menjadi Menteri Besar.

Mengulas mengenai manifesto PN, Mohamad berkata, BN mengalu-alukan sebarang cadangan yang dapat menambah baik manifesto parti itu selagi memberi manfaat kepada rakyat.

"Kalau ada apa-apa yang tertinggal dalam manifesto BN atau perlu ditambah nilai, kita mengalu-alukannya asalkan ia memberikan kebaikan kepada rakyat.

"Bukan semua perkara dalam manifesto itu kita dapat jelaskan atau sebut satu persatu. Jadi kalau PN menambah nilai ataupun melengkapkan, baguslah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!