Polis kesan pelajar kerap ponteng sekolah

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan menjejak dan melakukan pemprofilan terhadap kira-kira 10 peratus pelajar di sekitar ibu negara yang didapati kerap ponteng serta tercicir daripada sistem persekolahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya akan menjejaki pelajar terbabit bagi menganalisis punca sebenar keciciran mereka, seterusnya membantu mencari jalan membawa golongan itu kembali ke sekolah.
"Kita mengambil pendekatan agresif dengan menggerakkan elemen operasi termasuk unit peronda bermotor (URB) dan kereta peronda polis (MPV) masuk secara terus ke dalam pekarangan 348 buah sekolah di seluruh ibu kota.
"Kekerapan (rondaan) boleh dikatakan tiga hingga empat kali seminggu untuk penugasan yang pelbagai termasuk berjumpa, memberi nasihat, berbincang dan melakukan pemeriksaan bersama guru disiplin," katanya.
Fadil berkata demikian ketika berucap pada program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di Pusat Konvensyen HGH di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fadil berkata, pihaknya juga akan menambah jumlah Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada seorang atau dua orang sebelum ini kepada lima pegawai bagi setiap sekolah.
Sementara itu, menyentuh mengenai ancaman digital, Fadil turut meluahkan kebimbangan terhadap pendedahan pelajar kepada dunia siber yang tiada sempadan.
"Ada dalam kalangan mereka didapati mampu mengakses maklumat sehingga ke peringkat web gelap atau 'dark web'," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pemimpin negara kini memikul tanggungjawab serta cabaran yang besar untuk membentuk dasar dan polisi yang jelas bagi mengawal selia perkara tersebut daripada terus merosakkan pemikiran generasi muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
