'Chegubard tiada kuasa putuskan pemecatan Bersatu daripada PN' - Muhyiddin

SEREMBAN – Sebarang keputusan untuk memecat mana-mana parti daripada Perikatan Nasional (PN) tidak boleh diputuskan oleh mana-mana individu, sebaliknya perlu mendapat persetujuan semua parti komponen seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan atau gesaan berhubung perkara itu tidak mempunyai asas sekiranya dibuat oleh individu yang bukan berada dalam kepimpinan tertinggi PN.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal pada Sabtu yang menyatakan Bersatu berkemungkinan bakal disingkirkan daripada PN susulan tindakannya bertanding menentang calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Laporan itu memetik Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara bagi PRN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sebagai berkata, tindakan Bersatu meletakkan calon di beberapa kerusi yang turut ditandingi calon PN menunjukkan parti itu tidak lagi berfungsi sebagai sebahagian daripada gabungan berkenaan, sebaliknya mempunyai agenda politik tersendiri.
Mengulas perkara itu, Muhyiddin mempersoalkan kedudukan Chegubard yang disifatkannya tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan bagi pihak PN.
“Siapa dia Chegubard itu? Dia ahli Majlis Pimpinan PN ke? Saya tanya balik, jawapannya bukan.
“Dia boleh bertanding?… jangan memandai-mandai membuat keputusan. Dalam perlembagaan PN, kalau hendak pecat mana-mana parti, mesti ada konsensus daripada semua anggota gabungan.
“Kalau satu anggota sahaja tidak bersetuju, keputusan itu tidak boleh dibuat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Manifesto Bersatu di Nilai pada Sabtu.
Muhyiddin berkata, sebarang tindakan membabitkan kedudukan Bersatu dalam PN akan diteliti secara menyeluruh dengan mendapatkan pandangan peguam serta berpandukan peruntukan perlembagaan gabungan itu.
“Kita ada peguam. Apa juga tindakan akan diteliti mengikut perlembagaan. Kita tidak akan ambil tindakan sehingga ada asas yang benar-benar kukuh, misalnya jika ada pihak menafikan hak kita dalam pembahagian kerusi atau perkara berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin mendakwa kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PN masih belum menunjukkan kesepakatan yang jelas apabila beberapa kenyataan pemimpin kedua-dua pihak saling bercanggah.
Beliau berkata, sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan dilaporkan menyatakan kerjasama itu bukan sebuah gabungan rasmi, berbeza dengan kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkannya sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
“Saya memang sudah jangka. Belum apa-apa lagi apabila Hamzah buat kenyataan, sudah ada pihak dalam Barisan yang tidak bersetuju.
“Saya tahu sebab saya pernah berada di situ. Saya tahu bagaimana hendak menguruskan gabungan politik Perikatan Nasional,” katanya.
Menurut beliau, percanggahan kenyataan itu membuktikan belum wujud satu persefahaman atau aturan baharu yang benar-benar dipersetujui semua pihak.
“Dalam satu pihak kata ia gabungan, satu pihak lagi kata bukan gabungan. Jadi kenyataan yang keluar disanggah oleh pihak lain kerana belum ada aturan baharu.
“Yang ada hanyalah kerjasama untuk parti masing-masing dengan matlamat yang sama iaitu mendapatkan kuasa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
