Malaysia perlu kukuhkan 'lantai' ekonomi

ANGGARAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali lagi melebihi jangkaan pasaran dengan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua (S2) 2026, berbanding 5.4 peratus suku pertama (S1) 2026. Bagi separuh pertama tahun ini, pertumbuhan mencatatkan 5.6 peratus, berbanding 4.5 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Alhamdulillah, bukan mudah mencapai kejayaan sebegini dengan gangguan di Selat Hormuz yang mengakibatkan kejutan harga tenaga, aliran modal tidak menentu dan sistem perdagangan global yang semakin berpecah-belah.
Prestasi makroekonomi Malaysia cemerlang kini menarik perhatian ramai pihak – ini yang saya perhatikan sama ada dalam perbincangan akademik sebagai sebahagian daripada fellowship saya di Universiti Oxford atau dalam pelbagai persidangan antarabangsa.
Kisah di sebalik pertumbuhan kita sebahagiannya disokong sektor pembuatan – yang berkembang 7.5 peratus pada S2 2026, meningkat daripada 5.9 peratus pada S1 2026 – didorong produk elektrik & elektronik (E&E) dan optik.
Malaysia bersedia menyambut pelaburan baharu oleh syarikat global yang giat menyusun semula dan mempelbagaikan rantaian bekalan mereka. Sektor perkhidmatan terus menjana pertumbuhan. Sektor pembinaan juga mengekalkan momentumnya manakala sektor perlombongan pulih dengan kukuh.
Disiplin makroekonomi turut memainkan peranan penting. Inflasi menurun kepada 1.9 peratus pada Jun walaupun berlaku lonjakan harga minyak mentah global.
Rangka kerja dasar kita melindungi isi rumah daripada kesan terburuk ‘inflasi import’ sambil membolehkan kerajaan meneruskan penyasaran semula subsidi dan perancangan fiskal secara berhati-hati.
Defisit fiskal berada pada trajektori menurun. Ringgit kekal berdaya tahan. Keyakinan pelabur meningkat juga menyumbang keputusan sektor perniagaan terus melabur dan sekali gus cipta pekerjaan.
Ringkasnya, pencapaian makroekonomi kita jelas merupakan hasil daripada penyusunan dasar yang rapi serta usaha dan keyakinan berterusan terhadap hala tuju ekonomi negara.
Inilah maksud 'peninggian siling' yang digariskan rangka kerja Ekonomi Madani 2023, merangkumi peluasan potensi pertumbuhan Malaysia, peningkatan kedudukan kita di rantaian nilai dan pemulihan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan berdaya saing. Anggaran pertumbuhan KDNK bagi separuh pertama 2026 membuktikan bahawa kita berjaya mencapai objektif ini.
Namun 'siling' hanya separuh daripada cerita sebenar. Aktiviti pertanian contohnya dalam sektor kelapa sawit dan perikanan telah melemah. Akibat pertumbuhan tidak sekata, angka KDNK yang kukuh lazimnya ‘menyembunyikan’ tekanan besar dalam sektor dan komuniti tertentu.
Contohnya dengan pertumbuhan KDNK yang dipacu eksport barangan elektrik dan elektronik, seorang jurutera semikonduktor di Pulau Pinang mampu menikmati hidup selesa, namun ceritanya berbeza bagi seorang nelayan di Terengganu berhadapan kos perumahan, jagaan anak, pendidikan dan penjagaan kesihatan semakin meningkat.
Turun padang
Tekanan harian ini kerap saya lihat semasa aktiviti turun padang di Lembah Klang, baik dari segi kos pengangkutan, makanan dan asuhan anak. Bagi generasi sandwich iaitu yang menjaga anak-anak dan juga ibu bapa mereka, tekanan itu tentunya berganda. Justeru, Malaysia perlu mengukuhkan 'lantai' ekonomi melalui gaji berpatutan, perlindungan sosial yang kukuh, perkhidmatan awam berkualiti dan peluang saksama untuk rakyat memperbaiki kehidupan mereka.
Empat langkah untuk menaikkan 'lantai'. Caranya? Pertama, gaji mesti meningkat selaras produktiviti. Sudah berdekad lamanya, Malaysia ketinggalan berbanding pelbagai ekonomi setanding dari sudut sumbangan buruh kekal kepada pendapatan negara.
Dasar Gaji Progresif, semakan gaji minimum dan langkah kurangkan kebergantungan buruh asing berkemahiran rendah perlu disokong reformasi ekonomi lebih menyeluruh.
Seiring dengan kejayaan Malaysia menarik pelaburan berteknologi maju, pekerjaan dicipta juga mesti berkemahiran dan bergaji lebih tinggi. Rakyat Malaysia perlu dilatih untuk mengisi peluang ini. Justeru, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti domestik mesti menjadi kriteria utama bagi pelaburan yang dicadangkan.
Kedua, perlindungan sosial mesti mencerminkan realiti ekonomi moden. Struktur keselamatan sosial Malaysia sedia ada direka pada zaman pekerjaan formal stabil. Hari ini, ramai rakyat Malaysia bekerja dalam ekonomi gig dan perusahaan mikro tidak dilindungi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO walaupun terdapat usaha proaktif untuk berbuat demikian.
Memperluas keselamatan sosial kepada golongan pekerja ini mampu menguatkan infrastruktur ekonomi. Sumbangan fleksibel dan insentif sesuai dapat memastikan fleksibiliti pekerjaan dan juga keselamatan sosial.
Ketiga, subsidi hanya wajar diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Adalah tidak bertanggungjawab untuk terus memberikan subsidi pukal kepada isi rumah yang kaya dan warga asing.
Ujian sebenar sesuatu reformasi juga terletak pada sejauh mana penjimatan itu memanfaatkan rakyat melalui bantuan tunai yang mencukupi serta perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan awam yang lebih baik. Penyasaran semula subsidi juga amat perlu bagi memastikan kemampanan fiskal dan dasar perlindungan sosial.
Keempat, perniagaan kecil dan rantaian bekalan domestik mesti turut mendapat manfaat daripada aliran masuk pelaburan, terutamanya bagi PKS yang menggaji kira- kira 48 peratus tenaga kerja Malaysia.
Firma tempatan perlukan sokongan untuk bina kapasiti, menggunakan teknologi dan mendapatkan pembiayaan bagi meningkatkan kedudukan mereka di rantaian nilai.
Oleh itu, peruncit mahupun pengeluar kecil perlu mendapat akses pendigitalan. Tambahan pula, selain koridor yang sudah mantap seperti Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Kuching, kesalinghubungan yang lebih baik, kemudahan dan fasilitasi pelaburan turut penting bagi pertumbuhan dan peluang di kawasan atau negeri lain Malaysia.
Kita juga perlu memperluas ukuran kejayaan ekonomi kita merangkumi gaji median sebenar, peratus peruntukan keuntungan korporat untuk pekerja, pertumbuhan gaji dalam kalangan berpendapatan rendah, pendapatan boleh guna isi rumah, penciptaan pekerjaan berkemahiran, produktiviti PKS, dan pekerjaan yang tidak setara dengan kelulusan dalam kalangan belia.
Apa yang diukur oleh penggubal dasarlah yang bakal diutamakan oleh perniagaan dan masyarakat. Anggaran KDNK terkini memberitahu kita bahawa Malaysia mampu berkembang, bersaing dan menanam keyakinan walaupun dalam keadaan global yang sukar.
Pencapaian ini patut diiktiraf. Tetapi persoalan lebih sukar ialah: Siapa benar-benar merasai kejayaan itu dalam kehidupan seharian mereka? ‘Siling’ ekonomi tinggi sememangnya dialu-alukan, namun tanpa ‘lantai’ ekonomi kukuh, kita akan berhadapan dengan peningkatan jurang kekayaan dan masyarakat yang tidak stabil. Sebaliknya, lantai yang kukuh tanpa siling yang meningkat juga bukanlah satu situasi ideal untuk kemampanan ekonomi jangka panjang.
Malaysia perlu memperkukuhkan kedua-duanya. Kita membuktikan mampu meninggikan siling. Kini kita mesti memastikan taraf setiap rakyat Malaysia turut dapat dipertingkatkan.
*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

