Thailand mahu batal projek jambatan darat

BANGKOK – Kerajaan Thailand mencadangkan supaya projek mega jambatan darat dihentikan selepas kajian mendapati projek itu mempunyai daya maju komersial yang rendah, selain berdepan risiko kewangan serta kesan serius terhadap alam sekitar.
Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kajian Projek Jambatan Darat berkata, hasil kajian akan disediakan dalam bentuk laporan untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Kabinet bagi mendapatkan kelulusan menamatkan projek tersebut dalam bentuk asal.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan berjaya menyiapkan kajian sebelum tempoh 90 hari yang ditetapkan Perdana Menteri.
Menurutnya, kajian mendapati projek berkenaan mempunyai prospek pelaksanaan yang rendah kerana berisiko memberi tekanan kepada peruntukan kerajaan serta berdepan pelbagai cabaran.
Ekniti turut mengesahkan kerajaan belum mengalami sebarang kerugian berkaitan pelaburan tanah atau kerja pembinaan kerana kedua-dua perkara itu masih belum dimulakan.
Setiausaha Agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara, Danucha Pichayanan berkata, kajian semula berdasarkan keadaan ekonomi global pada 2025 menunjukkan kadar pulangan kewangan projek itu menurun daripada 8 peratus kepada hanya 4.8 peratus. -Agensi
INFO
Kos projek dianggarkan mencecah 1 trilion baht (RM122 bilion).
Cadangan asal projek jambatan darat itu membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand yang akan dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya dan landasan kereta api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

