UMNO Kuala Terengganu gesa pimpinan parti nilai semula kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA TERENGGANU – UMNO Bahagian Kuala Terengganu menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya menilai semula kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya semangat kerjasama dan perjanjian pembentukan kerajaan terus dilanggar oleh rakan gabungan.
Usul berkenaan diluluskan sebulat suara dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Kuala Terengganu Kali Ke-38 bagi Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Dato' Abu Bakar di sini pada Jumaat.
Pencadangnya, Datuk Ibrahim Muda berkata, penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah berlandaskan satu perjanjian persefahaman yang jelas demi kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan serta kenyataan terbuka pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) akhir-akhir ini yang dilihat semakin bercanggah dengan semangat saling menghormati antara rakan kerajaan.
"Usul ini bukan bertujuan menolak prinsip Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menegaskan bahawa penyertaan BN adalah berasaskan satu perjanjian politik yang dipersetujui oleh semua pihak.
"Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak tidak lagi menghormati semangat persefahaman tersebut atau memilih untuk bertindak di luar kerangka yang dipersetujui, maka BN tidak seharusnya dipaksa untuk terus kekal dalam satu bentuk kerjasama yang telah menyimpang daripada tujuan asalnya," katanya.
Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan bahawa berdasarkan pemerhatian akar umbi, kewujudan Kerajaan Perpaduan sehingga kini masih belum memberikan impak yang signifikan terhadap kehidupan rakyat di Terengganu, khususnya dari aspek pembangunan, peluang ekonomi, kos sara hidup, serta keperluan infrastruktur yang jauh tertinggal berbanding negeri lain.
Sehubungan itu, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang bersidang pada Jumaat menggariskan empat ketetapan utama usul antaranya UMNO perlu terus bertegas bahawa penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan berasaskan perjanjian bersama bukannya atas dasar tunduk kepada mana-mana parti ataupun mengalah atas ugutan.
"Kepimpinan UMNO digesa menilai semula kedudukan dalam kerajaan sekiranya rakan kerjasama secara berterusan gagal menghormati persefahaman atau tidak lagi menunjukkan komitmen terhadap perjanjian yang dimeterai.
"Kepimpinan pusat BN dan UMNO hendaklah memastikan setiap keputusan politik meletakkan kepentingan parti, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat mengatasi kepentingan individu atau parti lain di samping menyatakan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan Presiden serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Kerajaan Persekutuan digesa memberikan perhatian lebih adil kepada Terengganu menerusi projek pembangunan tersusun, pengukuhan ekonomi, peluang pekerjaan, dan penyelesaian kos sara hidup," katanya.
Pada masa sama, mesyuarat turut membantah tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyusun projek infrastruktur di negeri itu secara senyap tanpa mengikut keutamaan serta mementingkan kroni.
Menurut Ibrahim, sudah tiba masanya satu penilaian yang jujur dan menyeluruh dibuat terhadap keberkesanan kerjasama politik berkenaan supaya setiap keputusan diambil benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat, maruah parti dan masa depan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

