Kenyataan media guna nama Wawasan adalah palsu - Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Parti Wawasan Negara (Wawasan) menafikan satu kenyataan media yang tular menggunakan nama parti terbabit, sambil menegaskan dokumen berkenaan adalah palsu.
Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan kenyataan palsu tersebut.
"Wawasan ingin menegaskan bahawa kenyataan yang tular menggunakan nama parti adalah palsu dan tidak pernah disahkan atau mendapat kebenaran daripada kepimpinan parti.
"Orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan kenyataan palsu ini serta hanya merujuk kepada saluran rasmi parti bagi mendapatkan maklumat yang sahih," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, tular satu kenyataan media menggunakan logo Wawasan dan Perikatan Nasional (PN) bertajuk 'Jangan Biarkan Ego Mengatasi Kepentingan Kerjasama' yang didakwa dikeluarkan atas nama Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Antara perkara disentuh dalam kandungan media palsu yang tular itu termasuklah cadangan penggunaan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN serta menggesa perbezaan diselesaikan menerusi perbincangan demi kepentingan rakyat.
Dalam kenyataan palsu bertarikh 24 Julai itu, ia turut membangkitkan kekecewaan Hamzah terhadap kenyataan dibuat Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Dr Asyraf Wajdi berhubung cadangan penggunaan nama PBN apabila ia ditolak mentah tanpa runag diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

