Sebuah kapal Malaysia lepasi Laut Merah, dijangka tiba Ogos - Anwar

PORT DICKSON - Sebuah kapal Malaysia telah dibenarkan melalui Laut Merah dan dijangka tiba di Melaka pada awal bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan dasar luar yang diamalkan Malaysia selain hubungan baik dengan negara-negara luar membolehkan beberapa isu kritikal dan krisis perkapalan ditangani dengan berkesan.
"Semalam, Presiden dan juga Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz maklum kepada saya, satu lagi kapal Petronas bertolak dari Yanbu, Arab Saudi melalui Laut Merah, telah diberi kelulusan.
"Kapal itu akan sampai ke Melaka pada awal Ogos, Alhamdulillah,” kata beliau ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Laut Merah menjadi laluan perkapalan berisiko tinggi baru-baru ini susulan serangan terhadap kapal-kapal komersial oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran.
Houthi pada Isnin mengumumkan "sekatan" ke atas kapal Arab Saudi, kira-kira seminggu selepas tercetus konfrontasi baharu dengan negara jirannya itu, yang berkonflik dengan kumpulan berkenaan selama lebih sedekad.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hubungan baik Malaysia dengan kepimpinan tertinggi Iran membolehkan kedua-dua negara berhubung secara langsung, sekali gus membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan aman dan pantas.
"Nasib baik, Alhamdulillah, hubungan kita dengan kerajaan Iran baik. Kita jaga hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), dengan negara Teluk, negara Iran.
"Jadi bila disekat kapal Petronas pada beberapa bulan yang lalu apabila bermula perang, hubungan baik kita menyebabkan mudah saya menelefon Presiden Iran.
"Setelah menyatakan simpati, saya minta dia lepaskan kapal Petronas. Di antara kapal pertama yang dilepaskan di Selat Hormuz adalah kapal Petronas yang sekarang telah sampai ke Pengerang (Johor),” kata beliau.
Kapal tangki Malaysia Ocean Thunder antara yang terawal diberikan laluan di Selat Hormuz, selamat tiba di Terminal Pengerang, Johor pada 17 April lepas.
Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan AS dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lepas.
Ia kemudian disusuli dengan memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara AS dengan Iran, dengan persetujuan muktamad antara kedua-dua negara itu perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.
Perkembangan terbaharu menyaksikan AS melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Iran sejak minggu lepas, manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang kemudahan dan pangkalan yang didakwanya digunakan oleh tentera AS di beberapa negara di seluruh Asia Barat.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan pendekatan Kerajaan Madani yang kekal menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, negara-negara Teluk dan Iran membuktikan Malaysia mampu mempertahankan kepentingan strategiknya tanpa mengorbankan prinsip ketegasan negara.
"Ada orang tegur mengapa saya baik dengan China atau baik dengan Amerika. Sebagai negara berkembang, kita baik (dengan negara-negara berkenaan).
"Tapi kalau pembunuhan di Gaza ataupun sebelumnya perang serangan Amerika Syarikat ke atas negara Islam Iran, Malaysia adalah antara negara pertama yang adakan sidang Parlimen khas mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat,” kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
